Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BENGKEL SISTEM GABUNGAN KES BANTU HPUSM SIAP SIAGA HADAPI DRG KEBANGSAAN 2027

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 September 2026 – Bengkel Sistem Gabungan Kes (SGK) yang dianjurkan Unit Penilaian Sistem Gabungan Kes (Casemix System Evaluation Unit), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi platform persediaan warga Hospital Pakar USM (HPUSM) dalam menghadapi pelaksanaan ‘Diagnosis Related Group’ (DRG) Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada Januari 2027.

Bengkel yang berlangsung pada 23 dan 24 Ogos lalu itu melibatkan 40 peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi, ketua jabatan serta wakil jabatan di HPUSM, dengan pengisian merangkumi sesi perkongsian ilmu, perbincangan dan latihan praktikal berkaitan SGK.

Pada hari pertama, peserta didedahkan kepada peranan Casemix dalam pengurusan hospital serta konsep MY-DRG, ‘Casemix Grouper’, ‘costing’ dan ‘Clinical Pathway’ yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid. Selain itu, Profesor Madya Dr. Rosminah Mohamed turut berkongsi pengalaman berkaitan pelaksanaan Sistem Casemix di HPUSM.

Sementara itu, sesi pada hari kedua memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan praktikal melibatkan proses pengekodan diagnosis dan prosedur menggunakan ICD-11, ICD-9-CM, ‘Minimum Data Set’ (MDS) MY-DRG serta MY-DRG ‘Casemix Grouper’, selain latihan ‘coding exercise’ dan demonstrasi MY-DRG ‘Grouper’.

Secara keseluruhannya, bengkel ini memberikan kefahaman berkaitan aspek pengurusan, perancangan dan aplikasi teknikal SGK, di samping membantu meningkatkan koordinasi antara pengurusan dan jabatan di HPUSM sebagai persediaan ke arah pelaksanaan DRG Kebangsaan yang lebih tersusun dan berkesan.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Shuhaila Mat Sharani

  • Created on .
  • Hits: 111