BENGKEL TERAPI CARAKERJA FOKUS KESEJAHTERAAN KOGNITIF DAN EMOSI WARGA EMAS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Oktober 2025 – Hari Warga Emas Sedunia disambut pada 1 Oktober setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga emas ke arah pembangunan negara dan bangsa.


Menyedarinya, Bahagian Pemulihan Carakerja dari bidang Geriatrik dan ‘Neuro Medikal’, Unit Perubatan Pemulihan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah mengadakan 'Workshop Cognitive Activity and Reminiscence Therapy' pada 8 Oktober lalu.


Bengkel yang disertai 10 orang pesakit warga emas yang mengalami penurunan kognitif ringan, dementia tahap awal dan kemurungan ringan ini dijalankan sebagai sebahagian daripada intervensi terapi carakerja yang menyasarkan peningkatan fungsi kognitif dan psikososial warga emas melalui aktiviti 'Cognitive activity dan Reminiscence Therapy'.

Bengkel ini juga bertujuan merangsang dan meningkatkan daya kognitif seperti ingatan, tumpuan dan penyelesaian masalah selain menggalakkan interaksi sosial dan komunikasi interpersonal melalui perkongsian pengalaman hidup antara pesakit.

Selain itu, ia juga bertujuan merangsang memori jangka panjang pesakit melalui permainan traditional di samping menyokong kesejahteraan holistik pesakit warga emas merangkumi aspek fizikal, kognitif, emosi dan sosial.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang bengkel ini seperti senaman ringan (chairobic), aktiviti kognitif seperti realiti orientasi, pengenalan diri, kuiz dan ‘Reminiscence Therapy’ di mana pesakit berkongsi cerita lama dan bermain permainan tradisional yang mengimbau kisah lama mereka.

Di akhir bengkel, setiap pesakit warga emas diberikan sekuntum bunga ros sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka. Simbolik pemberian bunga ros ini menggambarkan bahawa warga emas terus bersinar seperti bunga, membawa keindahan dan makna dalam setiap fasa kehidupan mereka. Bersama-samalah kita menjadi masyarakat yang penyayang dengan sentiasa melindungi, menyayangi dan menghargai golongan warga emas.
Sumber Laporan dan Foto: Nur Nasuha Awang @ Nawi
- Created on .
- Hits: 189