BENGKEL ToT SMARTSENSQ LATIH GURU KENDALI INOVASI PENDIDIKAN AUTISME
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Februari 2026 – SmartSensQ adalah alat inovasi yang dicipta dalam membantu kanak-kanak autism dalam mengenal huruf-huruf hijaiyah. Ia juga merupakan alat mesra autisme dalam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran al-quran dalam kalangan kanak-kanak autisme.

Sebagai usaha meningkatkan kefahaman peserta terhadap konsep dan fungsi alat inovasi SmartSensQ, Kumpulan NewGen, Unit Perubatan Pemulihan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital Pakar USM (HPUSM) telah menganjurkan Bengkel ‘Training of Trainers’ (ToT) alat inovasi SmartSensQ di Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) PPSP USM, pada 11 Februari lalu.

Penganjuran bengkel ToT yang mendapat suntikan dana dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM ini bertujuan mengajar guru-guru di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan pusat-pusat yang terpilih bagi melahirkan tenaga pengajar dalaman yang kompeten, berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengendalikan SmartSenQ dan Modul Keedflix.

Selain itu, bengkel ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada teknik pengajaran dan kaedah penggunaan SmartSenQ secara optimum dan berterusan serta penilaian latihan kepada anak-anak yang mengalami Gangguan Spektrum Autisme (ASD).

Bengkel ini juga sangat penting dalam memastikan pemindahan ilmu dapat dilaksanakan secara berterusan, sistematik dan berkualiti. Seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa, penguasaan alat inovasi seperti SmartSenQ amat penting bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan yang disampaikan kepada komuniti sasaran.


Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan) PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud. Turut hadir ialah ‘Group Chairman of Keedsflix International’ merangkap Rakan Strategik USM–KEEDFLIX projek SmartSensQ, Azri Jamani; wakil Penyelaras Unit Perubatan Pemulihan HPUSM, Dr. Al Hafiz Ibrahim dan Pakar Perubatan Pemulihan merangkap Ketua Projek SmartSenQ, Dr. Fatimmah Azzahra’ Dinsuhaimi.

Sumber Laporan & Foto: Noor Asyrani Adanan
- Created on .
- Hits: 97