BICARA BERIRAMA MADANI 2026 PLATFORM PEMBANGUNAN SAHSIAH DAN INTELEKTUAL PELAJAR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Kampus Kesihatan USM telah menganjurkan Pertandingan Bicara Berirama MADANI 2026 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN Kelantan) pada 23 Jun lalu.

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Pusat Mahasiswa (PUMA) itu diadakan sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2026 dengan mengangkat tema Kelestarian Alam Menunjangi Pembentukan Masyarakat MADANI berjaya menarik penyertaan enam (6) buah sekolah rendah dan lima (5) buah sekolah menengah dari seluruh negeri Kelantan.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar sekolah di samping meningkatkan keupayaan berfikir secara kritis dan analitikal. Selain itu, para peserta turut dilatih menyusun dan menyampaikan idea secara teratur, kreatif dan berkesan melalui persembahan bicara berirama yang berunsurkan mesej pendidikan dan nilai murni.

Pertandingan ini juga memberi penekanan kepada usaha menyemai kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar serta penghayatan nilai-nilai MADANI dalam kalangan generasi muda sebagai persediaan membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

Sepanjang pertandingan, para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi serta kemampuan menyampaikan idea secara kreatif, berhemah dan berinformasi. Aktiviti berpasukan yang dilaksanakan turut meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan daya kepimpinan peserta melalui keperluan kerjasama serta disiplin yang tinggi.


Penganjuran pertandingan ini turut memperkukuh hubungan strategik antara USM, JPN Kelantan dan DBP Wilayah Timur. Usaha ini secara tidak langsung meningkatkan keterlihatan USM sebagai institusi pengajian tinggi yang komited terhadap pembangunan pendidikan, bahasa dan masyarakat.
Sumber Laporan & Foto: Roshanizam Ibrahim
- Created on .
- Hits: 109