Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BICARA DENGAN TUHAN BANTU PESAKIT LAKSANA IBADAH MENGIKUT KEMAMPUAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Ogos 2026 – Program Bicara Dengan Tuhan: Teknik Berwuduk dan Solat Walaupun dari Atas Katil memberi pendedahan kepada pesakit dan penjaga mengenai konsep Rukhsah atau keringanan dalam ibadah serta kaedah melaksanakan ibadah mengikut kemampuan fizikal, khususnya bagi pesakit yang terlantar atau mengalami masalah pergerakan.

Program anjuran Bahagian Pemulihan Carakerja, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kerjasama Pusat Islam Kampus Kesihatan USM pada 6 Ogos lalu itu bertujuan meningkatkan kefahaman peserta bahawa Islam tidak membebankan umatnya, sebaliknya menyediakan kemudahan dan keringanan dalam pelaksanaan ibadah ketika berdepan keadaan tertentu.

Melalui program tersebut, peserta diberikan bimbingan secara berkumpulan oleh fasilitator Pusat Islam yang bertauliah berkaitan kaedah bersuci termasuk wuduk dan tayamum serta teknik menunaikan solat mengikut kemampuan fizikal sama ada berdiri, duduk atau berbaring.

Selain itu, program berkenaan turut memberi ruang kepada peserta mendapatkan penjelasan berkaitan persoalan lazim yang dihadapi pesakit dalam melaksanakan ibadah, termasuk isu penggunaan beg stoma, balutan luka serta pelaksanaan solat jamak bagi pesakit yang menjalani prosedur pembedahan.

Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi kefahaman dari aspek fiqh, malah membantu pesakit membina ketahanan dalaman melalui sokongan kerohanian dengan menjadikan ibadah solat sebagai salah satu sumber ketenangan dan kekuatan sepanjang menjalani proses rawatan dan pemulihan.

Program ini turut mengetengahkan hubungan antara aspek kerohanian dengan bidang pemulihan carakerja dalam membantu pesakit mencapai tahap kefungsian dan penglibatan dalam aktiviti kehidupan seharian, termasuk aktiviti keagamaan.

Melalui pendekatan pemulihan secara holistik, jurupulih carakerja berperanan menilai keupayaan fizikal, kognitif dan fungsi pesakit dalam melaksanakan aktiviti seperti berwuduk dan solat, selain mengenal pasti keperluan sokongan yang bersesuaian.

Seiring dengan pendekatan tersebut, program berkenaan turut memperkenalkan Penilaian Aktiviti Solat dalam Pemulihan Carakerja bagi membantu menilai tahap kemampuan dan kefungsian pesakit dalam melaksanakan ibadah solat mengikut keupayaan masing-masing.

Penganjuran program ini juga selaras dengan konsep Hospital Patuh Syariah yang menekankan penyampaian perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan fizikal, psikologi, sosial dan spiritual pesakit.

Pendekatan ini penting bagi memastikan aspek kerohanian turut diberi perhatian sebagai sebahagian daripada sokongan terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup pesakit sepanjang proses rawatan dan pemulihan.

Program seumpama ini mencerminkan komitmen HPUSM dalam mengintegrasikan aspek kerohanian dalam penjagaan dan pemulihan pesakit, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh dan berpusatkan pesakit.

Sumber Laporan & Foto: Noor Asyrani Adanan

  • Created on .
  • Hits: 108