BPMB SERAH SUMBANGAN DANA ZAKAT RM300,000 UNTUK RINGANKAN BEBAN PESAKIT ASNAF HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 November 2025 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerima sumbangan dana zakat berjumlah RM300,000 daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bagi membantu pembelian implan dan peranti perubatan untuk pesakit asnaf yang menerima rawatan di hospital ini dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama HPUSM pada 5 November lalu.


Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Syariah BPMB, Ustaz Lokmanulhakim Hussain bersama Ketua Pengurusan Zakat BPMB, Haji Ruslan Yohman kepada Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.

Dana zakat yang disalurkan ini akan dimanfaatkan melalui beberapa jabatan dan unit terlibat seperti Unit Kardiologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Jabatan Neurosurgeri, Jabatan Radiologi, Jabatan Ortopedik dan Jabatan Surgeri. Sumbangan ini pastinya akan memberi sinar harapan kepada pesakit yang memerlukan sokongan kewangan bagi meneruskan rawatan mereka.

Sumbangan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen BPMB dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR) berasaskan zakat, tetapi turut mengeratkan jalinan kerjasama antara institusi kewangan Islam dan institusi kesihatan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Profesor Dr. Azhany Yaakub, Wakil Unit Kardiologi, Dr. Nik Ahmad Hilmi Nik Mohd Zaid dan Ketua Unit Kerja Sosial Perubatan HPUSM, Shamsul Amri Sallehudin.
Sumber Laporan & Foto: Normaisarah Mohammad Zahari
- Created on .
- Hits: 141