Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

CAKNA JANTUNG, KITO SIHAT: KEMPEN GALAK KOMUNITI JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN KARDIOVASKULAR

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Ogos 2024 – Prihatin dengan kesukaran yang dihadapi komuniti Pengkalan Kubor untuk membuat pemeriksaan kesihatan jantung, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor, Tumpat, mengambil inisiatif menganjurkan Program Pemerkasaan dalam Pencegahan Penyakit Kardiovaskular serta Risikonya dalam Kalangan Komuniti Pengkalan Kubor pada 17 Ogos lalu.

IMG 20240820 WA0033

Bertemakan ‘Cakna Jantung, Kito Sihat’, program yang turut mendapat kerjasama Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat, Primer Cherang Clinic Sdn. Bhd., Persatuan Diabetes Tumpat, Majlis Daerah Tumpat serta Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat itu bertujuan memberi kesedaran tentang penyakit jantung, faktor penyebab dan gejala, pengamalan gaya hidup sihat serta saringan kesihatan risiko penyakit jantung terhadap komuniti B40 berumur 40 tahun ke atas yang belum pernah menjalani saringan kesihatan PEKA B40.

IMG 20240820 WA0035

Komuniti berumur 40 tahun ke atas adalah dalam peringkat umur yang berisiko mendapat penyakit jantung. Walau bagaimanapun, tahap kesedaran yang masih rendah dan faktor sosioekonomi menjadi penghalang komuniti ini melakukan saringan kesihatan di klinik atau hospital berhampiran. Dengan adanya program ini, seramai 107 orang telah menjalankan saringan kesihatan dan mendapat maklumat berkaitan kesihatan jantung.

IMG 20240820 WA0036

IMG 20240820 WA0034

Pelbagai pengisian telah diisi sepanjang program yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh, Tumpat itu. Antaranya ialah pemeriksaan kesihatan risiko penyakit kardiovaskular termasuk pemeriksaan jisim index badan, tekanan darah dan pengambilan darah untuk paras gula dan kolesterol, ceramah kesihatan, pameran pemakanan sihat bagi pencegahan risiko penyakit jantung dan cakna ubat anda.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Zainab Mat Yudin

  • Created on .
  • Hits: 218