CAKNA KOMUNITI: USM KOMITED SEBARLUASKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN DAN PEMINDAHAN ILMU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Jun 2025 – Lebih 150 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Raba dan sekitarnya menerima manfaat kesihatan apabila Unit Kardiologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM dengan kerjasama pelbagai agensi lain menganjurkan Program Pemeriksaan Kesihatan Jantung di Kampung Orang Asli RPS Air Banun, Hulu Perak pada 13 Jun lalu.
Program berbentuk kemasyarakatan itu memberi tumpuan kepada saringan penyakit jantung, konsultasi pakar serta pendidikan kesihatan dalam kalangan masyarakat orang asli di kawasan pedalaman.
Seramai 97 penduduk dewasa telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh merangkumi saringan tekanan darah, pemeriksaan ‘Body Mass Index’ (BMI), paras glukos, ‘electrocardiogram’ (ECG) dan prosedur ‘echocardiogram’ (ECHO) yang dijalankan oleh pasukan pakar kardiologi dari HPUSM dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Perak.
Sebanyak 20 kes dirujuk untuk tindakan susulan ke Hospital Gerik, HRPB dan Pasukan Bergerak Orang Asli (PBOA), manakala 10 peserta dikenal pasti untuk menjalani ECG formal selepas saringan menggunakan ‘Cardiac Mobile’.
Menariknya, inisiatif pemerkasaan komuniti turut dilaksanakan apabila lapan (8) orang wakil kampung dipilih dan diberi alat pengukur tekanan darah beserta latihan penggunaan untuk pemeriksaan berkala kepada penduduk berisiko tinggi.
Program ini merupakan kempen yang menyasarkan pengesanan awal penyakit jantung selain mendidik masyarakat tentang bahaya merokok, pemakanan sihat dan pengurusan gaya hidup aktif di samping mengumpul data kesihatan untuk kajian jangka panjang mengenai pola penyakit jantung dalam komuniti pedalaman.
Antara pengisian lain dalam program ini ialah sukaneka, kuiz, cabutan bertuah serta sesi rewang penyediaan makanan kepada lebih 200 orang penduduk. Sebanyak 150 pek makanan asas, 80 pek snek kanak-kanak dan 20 hadiah cabutan bertuah turut diedarkan kepada peserta.
Penganjuran program ini berjaya mewujudkan jaringan sokongan sosial serta memperkukuh kesedaran kesihatan awam selari dengan matlamat meningkatkan kualiti hidup komuniti pedalaman melalui pendekatan libat sama antara universiti dan masyarakat.
Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Ketua Jabatan Kardiologi HRPB, Dr. Hanim Mohd Amin.
Sumber Laporan: Sekretariat Program Pemeriksaan Kesihatan Jantung /Foto: Zamri Husain
- Created on .
- Hits: 66