CAKNA OKU: TURUN PADANG BUKTI KEBERSAMAAN USM DAN KOMUNITI ISTIMEWA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN- 25 Jun 2025 – Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmen dalam mendekati komuniti menerusi penganjuran program Mulut Sihat untuk Semua - Khidmat Pemeriksaan Pergigian dan Saringan Kanser Mulut bersama Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pada 19 Jun lalu.
Program yang berlangsung di Pusat Jagaan Majlis Pemulihan Negeri Kelantan, Jalan Tok Bali, Telong Bachok itu berjaya menarik penyertaan seramai 60 individu daripada komuniti OKU dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) merangkumi warga PDK Perupok, PDK Tawang dan PDK Gunong.
Antara pengisian utama program ini ialah ceramah kesihatan pergigian dan kesedaran mengenai kanser mulut bertujuan meningkatkan pemahaman berkaitan penjagaan oral serta kepentingan pengesanan awal kanser mulut. Selain itu, pameran interaktif turut diadakan untuk menyampaikan maklumat dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah difahami.
Penglibatan komuniti OKU dalam program ini amat signifikan memandangkan golongan ini sering berdepan kekangan daripada segi akses terhadap penjagaan kesihatan oral secara berkala termasuk cabaran mobiliti, isu logistik dan kekurangan fasiliti yang mesra OKU.
Penglibatan aktif pelajar pascasiswazah pergigian turut menjadi nilai tambah dalam program ini, di mana mereka berpeluang mengaplikasikan ilmu serta kemahiran klinikal yang dipelajari dalam konteks sebenar di samping menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Program ini secara tidak langsung berfungsi sebagai jambatan antara universiti dan komuniti setempat, selari dengan hasrat kerajaan untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan primer yang bersifat inklusif, mesra komuniti serta menyasarkan golongan rentan seperti OKU.
Program sebegini diharap dapat diteruskan dan diperluas ke lokasi lain agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak tanpa mengira latar belakang atau tahap keupayaan fizikal.
Sumber Laporan dan Foto: Dr. Norhaslina Mohd Rokemi
- Created on .
- Hits: 21