CAKNA WARGA EMAS: PEMINDAHAN ILMU KESIHATAN PERGIGIAN DARI USM KEPADA KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Oktober 2024 - Warga emas merupakan individu yang perlu diberi perhatian dan wajar mendapatkan pendidikan kesihatan termasuk penjagaan kesihatan mulut yang baik.
Atas dasar itu, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui program libatsama universiti komuniti di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) mengambil inisiatif melaksanakan Program Pemindahan Ilmu Kesihatan Pergigian dan Warga Emas kepada wakil komuniti Pusat Aktiviti Warga Emas Kemumin, Pengkalan Chepa pada 6 Oktober lalu.
Program terbabit diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengenai penjagaan kesihatan mulut yang betul di samping membimbing komuniti warga emas agar lebih cakna tentang kesihatan mulut mereka.
Program yang turut mendapat kerjasama Klinik Gigi Dr. Emma Saz dan La Dentista itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti latihan penjagaan pergigian yang baik, lawatan ke fasiliti pergigian Hospital USM serta sesi ceramah dan perbincangan interaktif yang memfokuskan kepada keperluan khusus kesihatan mulut bagi warga emas.
Selain itu, golongan warga emas turut didedahkan dengan teknik pengurusan diri supaya kekal yakin dan menjadi contoh kepada rakan-rakan seusia yang lain. Wakil komuniti yang terpilih di pusat berkenaan juga dilatih agar mampu memainkan peranan dalam memberi panduan kepada warga emas serta berfungsi sebagai sumber rujukan mengenai penjagaan kesihatan mulut yang baik.
Sumber Laporan: Dr. Mohammad Majduddin Sulaiman/ Foto: Mohd Shamsuri Mat Salleh
- Created on .
- Hits: 203