DARAH COMEY HIDUP SENEY! KEMPEN CEGAH PENYAKIT DARAH TINGGI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi pelajar Tahun 3, Kumpulan 3, Program Kajian Komuniti dan Kes Keluarga – Residensi Komuniti, USM mengambil inisiatif menganjurkan Program Darah Comey Hidup Seney! bagi memberi fokus kepada kesedaran masyarakat mengenai penyakit darah tinggi, pencegahan serta kepentingan pengamalan gaya hidup sihat.


Program yang berlangsung pada 5 hingga 13 Ogos lalu di Kampung Jerimbong, Jeli itu juga bertujuan memberi pengetahuan kepada komuniti mengenai faktor risiko tekanan darah tinggi serta cara pencegahannya melalui pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan pengurusan stres.


Program ini antara lain bertujuan menyediakan peluang pemeriksaan kesihatan asas (tekanan darah, ‘body mass index’ (BMI), gula darah) untuk mengesan awal risiko penyakit tidak berjangkit selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, tidak menghisap ‘vape’, mengamalkan diet seimbang serta melakukan aktiviti fizikal secara berkala.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Yakult dan Klinik Kesihatan Kuala Balah seperti lawatan ke rumah, warung, surau dan masjid untuk memberikan pendidikan kesihatan, semakan ubat dan memastikan pengambilan ubat antihipertensi secara betul, mengecat mural darah tinggi bersama kanak-kanak sebagai simbol kesedaran visual yang menarik perhatian masyarakat, ‘brisk walk’ - Jalan Sihat: Cegah Darah Tinggi, sukaneka riang ria, senam zumba, ceramah kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz kesihatan, demonstrasi masakan sihat dan pemeriksaan kesihatan percuma.


Program ini bukan sahaja memberi manfaat secara terus kepada komuniti yang terlibat, tetapi juga memberi pengalaman praktikal, kemahiran komunikasi serta pengukuhan nilai kerjasama kepada para pelajar dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan komuniti.
Sumber Laporan & Foto: Sofee Elsa Mohamed Azmi (Pelajar Program Doktor Perubatan Tahun 3, USM)
- Created on .
- Hits: 320