USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mei 2023 – Pertandingan Debat Piala Naib Canselor (DPNC) 2023 menyaksikan pasukan dari Desasiswa Murni Nurani, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) kembali merangkul piala pusingan mengulangi kejayaan yang pernah dicapai pada tahun 2016 dan 2017.
Melalui tajuk 'Perluasan Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Sektor Perindustrian bagi Menggantikan Tenaga Kerja Manusia', Desasiswa Murni Nurani selaku pasukan pencadang berjaya menewaskan pasukan pembangkang dari Desasiswa Aman Damai pada pusingan akhir DPNC 2023.
Dalam pertandingan yang berlangsung pada 5 Mei lalu di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, pasukan Desasiswa Murni Nurani berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000, piala pusingan, medal dan hamper.

Kejayaan berganda buat pasukan debat Desasiswa Murni Nurani apabila pelajar tahun empat (4), Pusat Pengajian Sains Pergigian, Izzah Imanina Muhammad Marzuqi@ Jantan diumumkan sebagai Pendebat Terbaik Liga dan Pendebat Terbaik Keseluruhan serta menerima hadiah wang tunai RM200, hamper dan medal.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Timbalan Pendaftar, BHEPA, Kampus Kesihatan merangkap Penggawa Desasiswa Murni Nurani, Hafiz Assad Zakaria.
Sumber Laporan & Foto : Kaabati Abd Kamar