Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DIALOG AWAM BENDAHARI PERKUKUH TADBIR URUS DAN TATAKELOLA KEWANGAN USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Januari 2026 – Jabatan Bendahari, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Dialog Awam Bilangan 1/2026 hari ini bertempat di Dewan Persidangan, Kampus Kesihatan USM, sebagai platform strategik untuk memperkukuh tadbir urus serta tatakelola pengurusan kewangan universiti.

1000217584

1000217586

Dialog awam ini telah dipengerusikan oleh Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim yang hadir bersama pegawai-pegawai kanan Jabatan Bendahari dari Kampus Induk serta Jabatan Bendahari Kampus Kesihatan USM.

1000217588

Dalam sesi pembukaan, Rafizal telah menyampaikan ucaptama yang merangkumi beberapa agenda utama kewangan universiti, antaranya prestasi perbelanjaan USM bagi tahun 2025, prestasi yuran pengajian tahun 2025, tahap pematuhan terhadap Pekeliling Penutupan Akaun USM Tahun 2025, hala tuju perolehan bagi tahun 2026 dan Pelan Transformasi Digital Pengurusan Kewangan USM 2025 hingga 2030.

1000217590

1000217592

Pelan transformasi digital tersebut merupakan inisiatif penting bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan sistem pengurusan kewangan selari dengan keperluan semasa serta aspirasi pendigitalan universiti.

1000217594

Sesi dialog diteruskan dengan taklimat berkaitan ‘ePayChannel’ dan ‘USMartPay’ oleh Penolong Bendahari Kanan, Muhammad Imran Ibrahim, yang memberi penjelasan mengenai penggunaan, fungsi serta penambahbaikan sistem pembayaran digital bagi menyokong operasi kewangan universiti.

1000217598

Sesi dialog ini diakhiri dengan taklimat ‘OT by FIS’ Fasa 2 yang disampaikan oleh Penolong Bendahari Kanan, Wan Mohd Halimsani Wan Pa, melibatkan penerangan berkaitan pelaksanaan dan penambahbaikan fasa terkini sistem tersebut dalam memperkukuh kawalan serta kecekapan pengurusan kewangan USM.

1000217600

1000217602

Secara keseluruhannya, penganjuran Dialog Awam Bilangan 1/2026 ini telah menyediakan ruang komunikasi dua hala yang konstruktif antara wakil-wakil pusat tanggungjawab (PTJ) dan Jabatan Bendahari, sekali gus membolehkan perbincangan terbuka, perkongsian maklumat serta pencarian penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan pengurusan kewangan demi menyokong kecemerlangan tadbir urus USM.

1000217596

Turut hadir dalam sesi dialog ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, Ketua-ketua Jabatan Kampus Kesihatan dan Hospital Pakar USM serta pegawai-pegawai kewangan daripada PTJ Kampus Kesihatan USM.

Teks: Amyrulhan Azhari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 143