Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DIREX 2026 TINGKAT KESIAPSIAGAAN HADAPI BENCANA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 September 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menganjurkan ‘Disaster Response Exercise’ (DIREX) 2026 bagi meningkatkan kesiapsiagaan, keyakinan dan kecekapan peserta dalam menghadapi situasi bencana pada 27 hingga 29 Ogos lalu di Lata Kashmir, Empangan Pergau, Jeli.

Program anjuran bersama Kuasa Saksama Sdn. Bhd. dan H2H Medicare itu bertujuan memberikan pengetahuan teori dan latihan praktikal berkaitan kesiapsiagaan serta pengurusan bencana, selain meningkatkan pemahaman peserta terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing ketika berhadapan situasi bencana.

Program itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai fungsi dan sumbangan pelbagai agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana, di samping meningkatkan semangat kerja berpasukan dan kerjasama dalam kalangan pensyarah, kakitangan serta peserta yang terlibat dalam aktiviti tindak balas bencana.

DIREX 2026 menghimpunkan peserta daripada pelbagai disiplin dan agensi termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, anggota hospital dan klinik kesihatan, paramedik swasta, St. John Ambulance, perkhidmatan luar pesisir serta Polis Diraja Malaysia.

Peserta didedahkan kepada kemahiran pengurusan bencana menerusi kuliah, latihan praktikal, perbincangan meja dan simulasi insiden mangsa ramai, termasuk operasi menyelamat pada waktu malam serta latihan keyakinan air bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pengkalan Chepa.

Antara kemahiran yang dipraktikkan ialah struktur arahan insiden, pelaporan METHANE, penilaian bahaya, ‘triage’ lapangan, penilaian klinikal, imobilisasi, pengeluaran mangsa, komunikasi dan penyelarasan pengangkutan mangsa.

Simulasi melibatkan situasi tanah runtuh, serangan tebuan, ribut petir dan pokok tumbang bagi menguji keupayaan peserta membuat keputusan, berkomunikasi dan bekerjasama dalam keadaan mencabar.

Secara keseluruhannya, DIREX 2026 berjaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kompetensi peserta, di samping membina kerjasama serta persefahaman antara agensi dalam memastikan tindak balas terhadap bencana dapat dilaksanakan secara cekap, tersusun dan selamat.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Durgashini Razindran

  • Created on .
  • Hits: 110