DUA BUAH KENDERAAN BAHARU TINGKAT KEUPAYAAN LOGISTIK DAN OPERASI HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Oktober 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerima dua (2) buah kenderaan baharu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh keupayaan logistik serta menambah baik kecekapan operasi dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Dua (2) kenderaan tersebut terdiri daripada satu (1) van penumpang di bawah peruntukan Program ‘Mobile Screening Clinic’: Perkhidmatan Klinik Bergerak HPUSM dan satu (1) van jenazah di bawah peruntukan ‘One-Off’ Perolehan Kenderaan Tahun 2025 – HPUSM.

Perolehan van penumpang diyakini dapat memperluas capaian perkhidmatan kesihatan melalui program jangkauan kesihatan HPUSM dengan menyediakan kemudahan pengangkutan yang selesa dan selamat bagi petugas kesihatan serta peralatan perubatan ke komuniti luar bandar dan kawasan pedalaman yang tidak dapat diakses dengan menaiki bas penumpang.

Perolehan van jenazah pula adalah bagi menggantikan kenderan sedia ada yang uzur bagi meningkatkan kecekapan pengurusan jenazah di HPUSM dengan menyediakan kemudahan pengangkutan khas yang selamat, bersih dan teratur mengikut piawaian kesihatan serta syariah.

Diharap dengan penerimaan dua (2) buah kenderaan baharu ini dapat mengukuhkan imej HPUSM dan USM secara amnya sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin dan proaktif dalam memperkasa tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dalam memberi khidmat kesihatan yang berkualiti, mesra rakyat dan berimpak tinggi kepada komuniti.
Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani turut berbesar hati menerima sendiri dua (2) buah kenderaan tersebut daripada wakil syarikat pengeluar, hari ini. Hadir sama ialah Ketua Perkhidmatan Jaringan Komuniti, Unit Klinikal HPUSM, Dr. Norhayati Mohamad mewakili Pengerusi Jawatankuasa KPT Prihatin MADANI dan Jurutera Kanan Mekanikal, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Kampus Kesihatan USM, Shamsul Ibrahim.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Mohamad
- Created on .
- Hits: 111