USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2022 - Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini mengadakan acara melekatkan bendera kepada hampir 200 buah kenderaan kakitangan di laluan masuk berhampiran Padang Kawad.
Acara ringkas tetapi penuh bermakna itu berlangsung seawal jam 7.45 pagi sewaktu kakitangan USM masuk ke kawasan kampus bagi memulakan tugas.
Rata-rata mereka menyambut baik usaha mengibarkan Jalur Gemilang kerana ia merupakan salah satu cara menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Acara tahunan ini merupakan salah satu inisiatif USM ke arah menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara ke-65 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dan Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman hadir mengedarkan bendera tanda kebersamaan warga Kampus Kesihatan dalam menghayati semangat dan erti kemerdekaan.