FMQ 2026: CUNGKIL BAKAT MAHASISWA, SEMAI CINTA AL-QURAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 April 2026 – Sebagai usaha membentuk mahasiswa yang berkeupayaan menilai, memilih dan menjana idea serta pemahaman berteraskan al-Quran dalam kehidupan seharian, Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani dengan kerjasama Majlis Penggawa Desasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Festival Musabaqah Al-Quran (FMQ) 2026 pada 5 April lalu.


Festival ini juga diadakan bertujuan mencungkil bakat peserta dalam bidang tilawah, hafazan serta acara berkaitan, di samping memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan mahasiswa. Sebanyak lima (5) acara telah dipertandingkan iaitu Syarahan Agama, Tilawah al-Quran, Hafazan, Azan dan Penulisan Khat.


Di samping itu, FMQ turut menjadi platform yang berkesan dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memperkukuhkan ukhuwah antara peserta dari pelbagai kampus.


Penganjuran FMQ ini juga diharap dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir dalam bacaan al-Quran, tetapi juga menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.



Hadir merasmikan FMQ 2026 ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya. Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin dan Penggawa Desasiswa Murni Nurani, Dr. Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin.
Sumber Laporan & Foto: Asheef Barkhia Yahya
- Created on .
- Hits: 189