HARI DNA SEDUNIA: USM DIDIK MASYARAKAT KENALI FUNGSI DAN KEPERLUAN DNA DALAM KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mei 2024 – Bagi memberi pendedahan tentang peranan ‘deoxyribonucleic acid’ (DNA) dalam kehidupan di samping kesedaran tentang kepentingan serta peranan genetik dalam kesihatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Genom Manusia telah mengadakan Sambutan Hari DNA Sedunia pada 24 dan 25 April lalu.
Program dengan kerjasama Persatuan Genetik Manusia Malaysia (MSHG) dan Kluster Penyelidikan 'Genomics and Life Sciences', Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM ini diadakan seiring dengan sambutan Hari DNA Sedunia (World DNA Day) yang disambut pada 25 April setiap tahun bagi memperingati penemuan struktur DNA pada tahun 1953 dan kejayaan Projek Genom Manusia (Human Genome Project) yang bermula pada tahun 1993 hingga 2003.
DNA merupakan bahan genetik asas dan mempunyai arahan yang diperlukan oleh sesuatu organisma untuk membesar, berkembang dan membiak. Untuk menjalankan fungsi ini, urutan DNA mesti ditukar kepada mesej yang boleh digunakan untuk menghasilkan protein iaitu molekul kompleks yang menjalankan kebanyakan fungsi badan seperti enzim dan dalam sistem tindak balas imun.
DNA mempunyai peranan yang amat penting dalam kesihatan. Kesedaran mengenai genetik dan DNA dalam kalangan komuniti dapat membantu memberi pemahaman yang lebih terhadap penyakit berkaitan genetik, memupuk sifat empati terhadap pesakit penyakit genetik dan mendidik tentang pencegahan yang perlu dalam menghindari penyakit tersebut.
Selain itu, program yang disertai oleh warga USM, komuniti luar termasuk pelajar sekolah dan pelawat USM ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah kerjaya, aktiviti ‘GenoQuest’, pertandingan video tiktok (DNA Day Challenge), cabaran deko biskut raya kromosom, reruai pameran dan jualan serta sesi seminar bersama pihak industri.
Hadir merasmikan Sambutan Hari DNA Sedunia ialah Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman dan timbalan-timbalan dekan PPSP USM.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Sarina Sulong dan Dr. Marahaini Musa
- Created on .
- Hits: 404