HARI TERBUKA PUSAT GENOM MANUSIA SEBAR ILMU GENETIK KEPADA MASYARAKAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2025 - Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Hari Terbuka Pusat Genom Manusia sempena Sambutan Hari DNA Sedunia 2025 pada 28 April lalu.
Program itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang genetik manusia melalui pendekatan yang interaktif selain mempromosikan kepakaran dan fasiliti penyelidikan yang dimiliki oleh Pusat Genom Manusia kepada masyarakat umum serta memperkukuhkan hubungan antara komuniti akademik dan pihak luar.
Program ini telah menerima penyertaan hampir 100 orang dalam kalangan staf,pelajar, pesakit genetik serta ahli keluarga yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bidang genetik manusia. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi ‘Kenali Pakar Patologi Genetik/Pakar Genetik Manusia’, permainan interaktif dan lawatan ‘Jom Singgah Makmal Genetik’, aktiviti kreatif seperti ‘Cabaran Deko Biskut Kromosom’, jualan cenderamata Pusat Genom Manusia bertemakan genetik manusia dan pemberian hadiah misteri.
Program ini amat signifikan dalam meningkatkan visibiliti USM sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dalam bidang genomik. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada pelajar dan staf untuk meneroka bidang genetik dengan lebih dekat, seterusnya merangsang minat terhadap penyelidikan dan kerjaya dalam sains hayat.
Dari perspektif masyarakat, program ini berjaya menyampaikan maklumat berkaitan genetik dengan cara yang mudah difahami dan mesra pengunjung, sekali gus merapatkan jurang antara dunia saintifik dan orang awam. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan mendekatkan sains kepada masyarakat serta memperkukuh peranan USM dalam memperkasa pendidikan dan kesedaran awam dalam bidang genetik manusia.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Marahaini Musa
- Created on .
- Hits: 381