HPUSM LAKSANA PROSEDUR IMPLANTASI ‘AVEIR DR LEADLESS PACEMAKER’ PERTAMA DI PANTAI TIMUR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Jun 2026 – Hospital Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sekali lagi melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya melaksanakan implantasi ‘AVEIR DR Leadless Pacemaker’, teknologi perentak jantung tanpa wayar terkini yang pertama di Pantai Timur di Makmal Kardiologi Invasif (ICL) HPUSM, pada 2 Jun lalu.

Implantasi ini merupakan satu inovasi penting dalam bidang elektrofisiologi, khususnya bagi rawatan pesakit yang mengalami masalah rentak jantung perlahan (bradycardia). Teknologi perentak jantung tanpa wayar keluaran Abbott ini direka bagi mengurangkan risiko komplikasi seperti jangkitan kuman, terutama kepada pesakit berisiko tinggi termasuk mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik dan masalah saluran darah.

Pelaksanaan prosedur berimpak tinggi ini membuktikan komitmen berterusan USM melalui HPUSM dalam memperkenalkan teknologi perubatan bertaraf antarabangsa serta memperkukuh kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat. Kejayaan ini turut mencerminkan kesiapsiagaan pakar perubatan dan fasiliti klinikal HPUSM dalam mengadaptasi inovasi perubatan terkini seiring perkembangan global.


Selain melakukan implantasi klinikal, prosedur ini turut menjadi platform perkongsian ilmu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta profesional kesihatan mengenai penyakit irama jantung dan pilihan rawatan moden yang tersedia. Inisiatif ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan literasi kesihatan dan menggalakkan pengesanan serta rawatan awal penyakit jantung.

Prosedur implantasi ini dijalankan oleh Pakar Kardiologi HPUSM, Dr. Mohd Khairi Othman dibantu Pakar Kardiologi dari Cardio Vascular Central Kuala Lumpur, Dr. Abdul Raqib Abd Ghani dan Pakar Perunding Kardiologi yang juga Penyelaras ICL HPUSM, Profesor Madya Dr. W. Yus Haniff W. Isa.


Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan USM sebagai institusi yang menerajui inovasi, kecemerlangan klinikal serta pendidikan dan penyelidikan dalam bidang penjagaan kesihatan, sejajar dengan aspirasi universiti untuk terus memberi impak bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sistem kesihatan negara.
Sumber Laporan & Foto: Nurul Syahira Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 148