HOSPITAL USM DAN DELEGASI PENDIDIKAN TINGGI MEDAN TEROKA PELUANG KERJASAMA STRATEGIK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 September 2022 - Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini berbesar hati menerima kunjungan delegasi Lembaga Layanan Pendidikan Tinggi Wilayah 1, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan Riset dan Teknologi, Medan, Indonesia.
Rangka kunjungan ringkas delegasi yang diketuai Profesor Dr. Ibnu Hajar, M. Si selaku Plt. Kepala LLDikti Wilayah 1, Medan, antaranya bertujuan untuk meneroka peluang-peluang kerjasama antara USM dengan institusi-institusi di bawah seliaan Lembaga Layanan Pendidikan Tinggi Wilayah 1, Medan.

Antara bentuk kerjasama yang sedang diatur adalah penganjuran kursus pendek, seminar serta penempatan pelajar dalam bidang-bidang berkaitan perubatan serta sains kesihatan.

Kampus Kesihatan USM yang diwakili oleh wakil pengurusan Hospital USM telah berkongsi beberapa peluang kerjasama yang boleh digerakkan antaranya dalam bidang rehabilitasi, onkologi serta penjagaan luka.

Turut hadir dalam pertemuan antara kedua-dua delegasi ialah Timbalan Pengarah Operasi, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof mewakili Pengarah Kampus, Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud, Penyelaras Unit Pembangunan Korporat, Profesor Dato' Dr. Ab. Rahman Izaini Ghani @ Abdul Ghani, Ketua Pegawai Farmasi, Mohd Hanif Abdul Rahman, Ketua Penyelia Jururawat, Raudzah Haji Mohamed Ariffin serta pegawai-pegawai Hospital USM.
- Created on .
- Hits: 185