HPUSM BERI PENDEDAHAN MENGENAI PENYAKIT LAZIM SURGERI KEPADA KOMUNITI GUA MUSANG
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 September 2026 – Sebagai usaha meningkatkan pengetahuan komuniti Gua Musang mengenai pengenalan awal penyakit yang memerlukan intervensi pembedahan seperti hernia, batu karang hempedu dan ginjal, ketumbuhan atau kanser, penyakit jantung serta salur darah, Jabatan Surgeri, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menganjurkan Program KPT Prihatin MADANI: Program Kesedaran Penyakit Lazim Surgeri di Masjid Jamek Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang pada 21 Ogos lalu.


Antara pengisian utama program ialah siri ceramah kesihatan oleh pakar HPUSM yang merangkumi topik penyakit batu karang pundi hempedu, kanser kolon dan rektal, kanser payudara, batu karang buah pinggang, pembedahan penyakit jantung serta penyakit salur darah.

Perkongsian tersebut memberi penekanan kepada pengenalan tanda-tanda awal penyakit, langkah pencegahan dan kepentingan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan pada peringkat awal.

Selain ceramah, program ini turut menyediakan pemeriksaan kesihatan, saringan payudara, saringan kesihatan percuma dan pameran kesihatan, di samping pertandingan mewarna kanak-kanak serta cabutan bertuah bagi menggalakkan penglibatan komuniti.

Penganjuran program di masjid turut menjadi medium libat urus yang mendekatkan kepakaran kesihatan HPUSM dengan masyarakat setempat, sekali gus membuka ruang interaksi secara langsung antara petugas kesihatan dan komuniti Gua Musang.


Selaras dengan semangat KPT Prihatin MADANI dan tema “Komuniti Sihat, Kehidupan Sejahtera”, program ini diharapkan dapat membantu masyarakat mengenali tanda awal penyakit dan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan sewajarnya bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Wan Muhammad Mokhzani Wan Muhammad Mokhter
- Created on .
- Hits: 40