Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM CAPAI KEJAYAAN RAWAT PESAKIT KE-300 PERKHIDMATAN LASER REFRAKTIF

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Januari 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus mengorak satu lagi langkah ke hadapan apabila Perkhidmatan Laser Refraktif mencatat kejayaan rawatan ke atas pesakit ke-300 sejak mula beroperasi pada Jun 2022.

1000214632

Kejayaan ini mencerminkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan oftalmologi berteknologi tinggi yang ditawarkan oleh HPUSM. Perkhidmatan Laser Refraktif HPUSM diketuai oleh Profesor Madya Dr. Julieana Muhammed dan disokong oleh pasukan pakar yang berpengalaman serta kemudahan rawatan berasaskan teknologi laser terkini. Sejak diperkenalkan, perkhidmatan ini telah membantu ramai pesakit memperbaiki penglihatan dan meningkatkan kualiti kehidupan seharian tanpa kebergantungan kepada cermin mata atau kanta lekap.

1000214634

Pesakit ke-300, Siti Nur Fatihah Wan Ngah, 34, yang berasal daripada Gua Musang, turut meluahkan rasa syukur dan teruja selepas menjalani rawatan laser refraktif di HPUSM.

Sebagai langkah memperluas akses kepada rawatan ini, HPUSM turut menawarkan promosi diskaun sebanyak 20 peratus (%) bagi Perkhidmatan Laser Refraktif kepada orang ramai yang berminat, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, tawaran khas turut disediakan kepada staf dan warga USM dengan kemudahan bayaran secara ansuran bulanan, bagi memastikan rawatan pembetulan penglihatan ini lebih mudah diakses tanpa bebanan kewangan.

1000214630

Pencapaian pesakit ke-300 ini menjadi penanda aras dalam usaha berterusan HPUSM untuk terus mengorak langkah sebagai pusat rawatan rujukan yang berdaya saing, selaras dengan aspirasi hospital untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi, berteraskan teknologi dan berfokuskan keperluan masyarakat.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Perkhidmatan Laser Refraktif serta promosi yang ditawarkan boleh menghubungi Klinik Laser Refraktif di talian 09-767 4253 atau 011-29230394.

Sumber Laporan: Nurul Najwa Mohd Rasid / Foto: Muhammad Hariz Yahya

  • Created on .
  • Hits: 200