HPUSM DAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN BINCANG POTENSI KERJASAMA PELANCONGAN KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 November 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) berpotensi menjadi peneraju utama dalam memperkukuh agenda Pelancongan Kesihatan (Health Tourism) di negeri Kelantan melalui jalinan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Kelantan.

Pelancongan kesihatan merujuk kepada aktiviti di mana individu melakukan perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan atau rawatan perubatan, sama ada kerana kos yang lebih berpatutan, rawatan khusus yang tidak ditawarkan di negara asal, mahupun peluang untuk menggabungkan rawatan dengan aktiviti pelancongan.

Dalam konteks HPUSM, pelancongan kesihatan dilihat sebagai satu bidang berimpak tinggi yang mampu menarik pesakit antarabangsa untuk mendapatkan rawatan khusus daripada hospital yang mempunyai kelebihan dalam kepakaran, penyelidikan serta teknologi kesihatan terkini.

Sebagai hospital universiti, HPUSM menawarkan rawatan bertaraf tinggi melalui tenaga pakar berpengalaman dan kemudahan moden yang menepati piawaian antarabangsa, menjadikannya destinasi yang berdaya saing dalam sektor pelancongan kesihatan serantau.

Perbincangan antara HPUSM dan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Hj Kamarudin Mohd Nor dalam sesi kunjungan hormat wakil HPUSM yang diketuai Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestraian), Profesor Dr. Shatriah Ismail, ke pejabatnya semalam turut memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan fasiliti rawatan pakar dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa yang ditawarkan oleh HPUSM kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Pihak Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik inisiatif ini kerana ia berpotensi melonjakkan imej Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja kaya dengan budaya dan warisan, tetapi turut maju dalam bidang kesihatan dan perubatan.


Selain itu, turut dibincangkan mengenai penyertaan HPUSM dalam rangka promosi yang akan diatur oleh Pejabat Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada tahun 2026 sempena Tahun Melawat Kelantan 2026, yang dijangka dapat memperkukuh lagi promosi sektor pelancongan kesihatan negeri.
Sumber Laporan & Foto: Ida Haryati Ibrahim Bey
- Created on .
- Hits: 151