Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM GALAK SOKONGAN KELUARGA, KOMUNITI DALAM PENYUSUAN SUSU IBU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 September 2026 – Unit Laktasi, Hospital Pakar USM (HPUSM) dengan kerjasama Persatuan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu (KSSUSM) terus meningkatkan usaha dalam menyokong amalan penyusuan susu ibu melalui penganjuran Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin MADANI: Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 Peringkat Kampus Kesihatan USM pada 12 September lalu.

Program berkonsepkan libatsama komuniti itu menghimpunkan seramai 34 keluarga terdiri daripada ibu menyusu, pasangan dan anak-anak yang dipilih melalui pencalonan Klinik Kesihatan Kubang Kerian, Klinik Kesihatan Kota Jembal, Klinik Kesihatan Wakaf Stan dan HPUSM.

Bertemakan “Breastfeeding for a Sustainable Start in Life: Strengthen What Works” atau “Penyusuan Susu Ibu untuk Permulaan Kehidupan yang Mampan: Perkukuhkan Apa yang Berkesan”, program ini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh sistem sokongan yang terbukti berkesan dalam membantu ibu meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga enam (6) bulan dan seterusnya sehingga usia dua (2) tahun.

Majlis perasmian sambutan ini disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM.

Program ini dianjurkan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyusuan susu ibu dan manfaatnya kepada ibu, bayi serta keluarga; memperkukuhkan keyakinan dan kemahiran ibu dalam mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif; menggalakkan penglibatan suami, ahli keluarga dan komuniti sebagai sistem sokongan; mempromosikan persekitaran mesra penyusuan susu ibu; serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara HPUSM, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

Berbeza daripada pendekatan pendidikan berbentuk ceramah semata-mata, program ini memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat secara interaktif melalui tujuh (7) reruai pendidikan dan kesihatan yang meliputi pemeriksaan kesihatan kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan dewasa, pengurusan susu ibu perahan (EBM), cetusan laktasi, pemakanan ibu menyusu, perancang keluarga bagi ibu menyusu serta pertolongan cemas kanak-kanak.

Antara pengisian utama program ialah sesi ‘30 Minutes of Breastfeeding Support’ yang memberi ruang kepada ibu untuk menyusukan anak dalam suasana yang selesa selain sesi perkongsian pengalaman oleh ibu jemputan yang berjaya mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Program turut menyediakan pelbagai aktiviti kekeluargaan dan pendidikan yang melibatkan pasangan serta anak-anak bagi menanam kesedaran bahawa kejayaan penyusuan susu ibu memerlukan sokongan seluruh institusi keluarga dan komuniti.

Sumber Laporan & Foto: Nurul Sakinah Zabidi Azhar

  • Created on .
  • Hits: 66