HPUSM HARGAI SUMBANGAN RAKAN STRATEGIK OPTOMETRI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 November 2025 – Bagi menghargai sumbangan serta komitmen rakan-rakan optometri dalam menjayakan program komuniti kesihatan penglihatan sepanjang tahun 2022–2025, Perkhidmatan Optometri Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menganjurkan Majlis Kolaborasi Rakan Strategik Optometri- HPUSM pada 3 November lalu.

Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Pembangunan Korporat HPUSM ini antara lain bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Perkhidmatan Optometri HPUSM dan rakan strategik di samping memberi pendedahan dan promosi mengenai Perkhidmatan Laser Refraktif HPUSM dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepakaran rawatan penglihatan moden.


Selain itu, ia juga turut menyemai semangat kolaborasi berterusan dalam memperkasa agenda kesihatan penglihatan di peringkat komuniti dan institusi.


Hadir merasmikan majlis ini ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Azhany Yaakub.
Sumber Laporan & Foto: Nur Athirah Hamzah
- Created on .
- Hits: 134