HPUSM HOSPITAL PERTAMA DI MALAYSIA LAKSANA PROSEDUR TNE MENGGUNAKAN GASTROSKOPI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi melakar sejarah dalam bidang perubatan apabila Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menjadi hospital pertama di Malaysia melaksanakan prosedur ‘Transnasal Esophagoscopy’ (TNE) di Klinik Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), menggunakan ‘Imaging System Evis Exera III; Ultra-Slim Gastrointestinal Videoscope GIF-XP190N’ dari Olympus, sekali gus memperkukuh perkhidmatan penilaian dan pengurusan pesakit yang mengalami gangguan menelan (dysphagia) serta pelbagai masalah saluran aerodigestif atas.

Prosedur yang dilaksanakan pada 4 Ogos lalu itu merupakan kaedah pemeriksaan esofagus melalui rongga hidung menggunakan endoskop fleksibel tanpa memerlukan bius sedatif dan bius am. Pendekatan ini membolehkan pemeriksaan dijalankan dengan lebih cepat, selamat dan kurang invasif, sekali gus meningkatkan keselesaan pesakit.

Kejayaan tersebut didorong oleh kepakaran Pakar Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS) HPUSM, Dr. Nik Fariza Husna Nik Hassan yang telah mengikuti latihan subkepakaran laringologi termasuk latihan ‘Transnasal Esophagoscopy’ di University College London (UCL), United Kingdom selama setahun di bawah bimbingan Profesor Martin Birchall, tokoh terkemuka dunia dalam bidang laringologi dan gangguan penelanan kompleks.

Pelaksanaan TNE di HPUSM turut disokong oleh pengalaman lebih sedekad mengendalikan Klinik Gabungan Dysphagia yang menghimpunkan kepakaran pelbagai disiplin termasuk Gastroenterologi, Otorinolaringologi- Surgeri Kepala dan Leher, Patologi Pertuturan-Bahasa, Dietetik dan Radiologi bagi memastikan pesakit menerima penilaian serta rawatan yang komprehensif dan berpusatkan pesakit.

Kepentingan penggunaan TNE turut diiktiraf di peringkat nasional apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS) menerbitkan ‘Health Technology Assessment Report: Transnasal Oesophagoscopy’ (TNE) pada tahun 2011. Laporan tersebut merumuskan bahawa TNE merupakan prosedur yang selamat, berkesan dan sesuai dilaksanakan di klinik menggunakan anestesia topikal, selain berpotensi mengurangkan kos berbanding oesofagoskopi konvensional bagi kes-kes tertentu.
Lebih sedekad selepas laporan tersebut diterbitkan, HPUSM muncul sebagai hospital pertama di Malaysia yang melaksanakan prosedur TNE menggunakan gastroskopi dalam perkhidmatan ORL-HNS. Pencapaian ini mencerminkan kesiapsiagaan USM dari segi kepakaran klinikal, pengalaman multidisiplin dan komitmen dalam menerajui inovasi yang memberi manfaat kepada pesakit.

Pengenalan prosedur ini mengukuhkan lagi kedudukan USM sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan perubatan yang sentiasa meneroka inovasi dalam perkhidmatan klinikal, latihan kepakaran serta penyelidikan, sejajar dengan usaha meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan negara.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Nik Fariza Husna Nik Hassan
- Created on .
- Hits: 244