HPUSM JAYAKAN FESTIVAL IDEA 2025 PERINGKAT NEGERI KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Oktober 2025 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus mendokong inisiatif peringkat nasional oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui penganjuran Festival Idea (FOI) 2025 di 13 buah negeri sepanjang bulan Oktober dan acara kemuncak di Putrajaya pada awal November nanti.

FOI 2025 memfokuskan kepada keperluan serta kepentingan usahasama dan kolaborasi semua pihak baik di peringkat serantau mahupun global bagi mencapai pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara secara berterusan.

HPUSM juga telah menjadi rakan kolaborasi kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku tuan rumah bagi Festival Idea 2025 Peringkat Negeri Kelantan (FOI@Kelantan) yang telah berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UMK, Bachok pada 13 -14 Oktober 2025.

Seramai 35 orang petugas kesihatan turun padang menyumbang kepakaran dengan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan asas, saringan perubatan rehabilitasi dan pameran serta saringan kesihatan payudara kepada 302 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan tenaga pengajar dari pelbagai institusi pendidikan di Kelantan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, sempat meluangkan masa melawat tapak pameran dan Klinik Bergerak HPUSM selepas Majlis Perasmian FOI@Kelantan.

HPUSM turut menyertai Pertandingan Pameran Penyelidikan dan Inovasi (CRI) 2025 anjuran Bahagian Komersialan dan Harta Intelek, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMK melalui Projek: Bal Ex NVR (Neurovirtual Rehab) dan telah memenangi ‘1st Runner Up’ serta memenangi kategori ‘Medical and Healthcare’.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian FOI@Kelantan ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dan Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.

Di samping itu, HPUSM turut menyokong penganjuran FOI@Kelantan sepanjang bulan Oktober dengan mengadakan tiga (3) program KPT Prihatin Madani melalui Program Belia Menentang Kanser sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang tanda-tanda awal dan faktor risiko kanser di daerah Kuala Krai, Program MySTOP 2.0 :Intervensi Cegah Pradiabetes dalam Kalangan Penduduk Luar Bandar di daerah Pasir Mas dan Program Remaja Sihat : ATAP-NEPAH 2.0 sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan memupuk tabiat sihat serta meningkatkan tingkah laku berisiko dalam kalangan remaja di daerah Kota Bharu.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Mohamad
- Created on .
- Hits: 139