HPUSM KOMITED TINGKATKAN PENGALAMAN PELANGGAN MENERUSI KEMPEN KOMUNIKASI BERKESAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Jun 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memulakan langkah proaktif dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan menerusi penganjuran Kempen Komunikasi Berkesan yang bermula hari ini dengan destinasi pertama di Jabatan Kecemasan.
Kempen yang mensasarkan seluruh warga kerja HPUSM ini memberi penekanan kepada lima (5) elemen utama komunikasi iaitu responsif, empati, profesionalisme, informatif dan ketepatan (accuracy). Inisiatif ini merupakan tindak balas kepada keperluan memperkukuh aspek komunikasi antara staf hospital dengan pelanggan bagi memastikan pengalaman perkhidmatan yang lebih mesra, efisien dan meyakinkan.
Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani mengetuai pelancaran kempen di lokasi pertama dengan turun padang bersama-sama barisan pengurusan untuk bertemu warga Jabatan Kecemasan. Dalam sesi interaksi tersebut, beliau menekankan pentingnya komunikasi berkesan sebagai tunjang kepada reputasi dan kepercayaan pelanggan terhadap sistem perkhidmatan kesihatan.
“Komunikasi yang baik bukan sahaja mempercepatkan penyampaian rawatan, tetapi turut membina kepercayaan, mengurangkan kekeliruan dan memberikan ketenangan kepada pesakit serta waris,” ujarnya.
Beliau turut menyampaikan mesej motivasi kepada kakitangan di jabatan berkenaan bagi menyemarakkan lagi semangat dan komitmen dalam menjayakan objektif kempen ini.
Kempen ini akan diteruskan ke pelbagai fasiliti rawatan lain sepanjang minggu melibatkan lawatan Pengarah dan pihak pengurusan hospital bagi memastikan penghayatan dan pelaksanaan nilai komunikasi berkesan diterapkan secara menyeluruh.
HPUSM yakin pendekatan turun padang ini mampu mewujudkan perubahan positif yang ketara dalam budaya komunikasi organisasi, sekali gus memperkukuh imej hospital sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi.
Turut menyertai kempen kali ini ialah Ketua Jabatan Kecemasan HPUSM, Profesor Madya Dr. Hashairi Fauzi; Ketua Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad; Pengurus Operasi Pusat Media dan Perhubungan Awam, Amyrulhan Azhari serta warga kerja Jabatan Kecemasan HPUSM.
Teks: Amyrulhan Azhari/ Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 81