HPUSM KOMITED TINGKATKAN PENGURUSAN KEMUDAHAN PERUBATAN PESARA PERSEKUTUAN DAN ATM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Ogos 2025 – Sebagai pendekatan terbaik untuk memberi pendedahan serta pemahaman yang lebih jelas berhubung pengurusan kemudahan perubatan yang disediakan kepada pesara Persekutuan dan Angkatan Tentera Malaysia, Unit Kerja Sosial Perubatan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menganjurkan ‘Town Hall’ Pemantapan Pengurusan Kemudahan Perubatan Bagi Pesara Persekutuan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 18 Ogos lalu.

‘Town hall’ yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM ini menjadi wadah libat urus antara pihak HPUSM dengan pesara bagi menambah baik mutu perkhidmatan serta memastikan akses kesihatan yang lebih sistematik dan efisien.


Program turut diisi dengan sesi taklimat, perkongsian maklumat berkaitan kemudahan kesihatan serta ruang maklum balas daripada peserta yang terdiri daripada pegawai bertanggungjawab tadbir urus permohonan dan tuntutan pesara yang dilantik oleh pengurusan wad dan klinik selain turut disertai wakil dari Jabatan Farmasi HPUSM dan Pusat Perubatan USM Bertam.


Penganjuran ‘town hall’ ini juga membuktikan komitmen HPUSM dan USM secara keseluruhannya untuk sentiasa menjaga kebajikan pesara melalui penambahbaikan berterusan seiring dengan misi universiti sebagai sebuah institusi yang berjiwa masyarakat.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Ketua Jabatan, Jabatan Farmasi HPUSM, Mohd Hanif Abdul Rahman; Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad dan Ketua Unit, Unit Kerja Sosial Perubatan HPUSM, Shamsul Amri Sallehuddin.
Sumber Laporan & Foto: Suhaila Che Dir
- Created on .
- Hits: 226