HPUSM LAKSANA PROSEDUR BEET PERTAMA BAGI RAWATAN MALFORMASI VASKULAR KOMPLEKS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Oktober 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mencatat pencapaian baharu dalam perkhidmatan intervensi radiologi menerusi kejayaan melaksanakan prosedur ‘Bleomycin Electroembolotherapy’ (BEET) buat kali pertama di hospital berkenaan pada 12 Oktober lalu.
Prosedur tersebut melibatkan rawatan malformasi arteriovena (Arteriovenous Malformation - AVM) kompleks pada bahagian kiri muka dan rahang bawah seorang pesakit yang mengalami keadaan berkenaan sejak zaman kanak-kanak.
AVM ialah kelainan saluran darah yang menyebabkan hubungan abnormal antara arteri dengan vena tanpa melalui rangkaian kapilari normal. Keadaan ini boleh mengakibatkan komplikasi seperti pendarahan dan kerosakan tisu, khususnya apabila melibatkan kawasan sensitif seperti muka dan rahang bawah.

Pesakit berkenaan mempunyai sejarah rawatan yang kompleks dan telah menjalani beberapa prosedur embolisasi sejak tahun 2006. Walaupun menerima rawatan terdahulu, keadaan AVM yang berterusan memerlukan pendekatan khusus berdasarkan anatomi dan ciri-ciri malformasi vaskular yang dialami.
BEET merupakan teknik rawatan yang menggabungkan penggunaan ubat bleomycin dengan elektroporasi, iaitu penggunaan denyutan elektrik terkawal untuk meningkatkan kebolehtelapan membran sel bagi membantu kemasukan ubat ke dalam sel sasaran.

Pelaksanaan prosedur ini memerlukan perancangan teliti dan kepakaran khusus, mengambil kira kerumitan rangkaian saluran darah serta lokasi AVM yang terlibat.
Prosedur tersebut diketuai oleh Pakar Radiologi Intervensi HPUSM, Dr. Nasibah Mohamad, dengan kerjasama Pakar Radiologi Intervensi dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Dr. Isa Azzaki Zainal, serta sokongan syarikat Getz Healthcare.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen HPUSM dalam membangunkan perkhidmatan intervensi radiologi melalui penerapan teknik rawatan khusus dan kerjasama kepakaran antara institusi.

Inisiatif tersebut diharap dapat menyumbang kepada perkembangan perkhidmatan intervensi radiologi di Pantai Timur, di samping memperluas pilihan rawatan yang bersesuaian bagi pesakit dengan malformasi vaskular kompleks.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Munzir Mohamad Rani Dali
- Created on .
- Hits: 14