HPUSM LAKSANA PROSEDUR EVAR, RAWAT JUXTARENAL AAA BERISIKO TINGGI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 April 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus melakar kecemerlangan dalam bidang intervensi endovaskular melalui kejayaan menjalankan satu prosedur kompleks ‘Endovascular Aneurysm Repair’ (EVAR) yang dijalankan di Unit Advanced Minimally Invasive Endovascular and Neurointervention (AMIEN), pada 20 April lalu.

Prosedur yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang itu melibatkan rawatan bagi penyakit ‘Juxtarenal Abdominal Aortic Aneurysm’ (AAA), satu keadaan di mana berlaku pengembangan saluran darah aorta yang terletak sangat hampir dengan saluran darah ke buah pinggang.
Prosedur EVAR ini menggunakan teknik ‘Chimney’ (ChEVAR) yang merupakan kaedah invasif minimum yang sangat teknikal bertujuan untuk mengekalkan aliran darah kedua-dua ginjal sementara merawat aneurisma pada aorta.

Proses ‘stent’ khas dimasukkan melalui saluran darah di paha (femoral) dan lengan (brakial) untuk membentuk serombong (Chimney) bagi memastikan fungsi buah pinggang tidak terjejas semasa pemasangan ‘stent graft’ utama pada aorta.

Penggunaan fasiliti di unit AMIEN membolehkan pasukan pakar melakukan pemantauan imej yang sangat tepat (high-definition imaging) semasa prosedur dijalankan. Dengan kaedah invasif minimum ini, pesakit dijangka akan melalui tempoh pemulihan yang lebih cepat berbanding pembedahan terbuka konvensional.

Prosedur operasi ini diketuai oleh Pakar Vaskular Surgeri, Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Madya Dr. Rosnelifaizur Ramely bersama pasukan Intervensi Radiologi dan pasukan Anaestesiologi.


Kejayaan ini membuktikan keupayaan HPUSM dalam mengendalikan kes-kes vaskular tahap tinggi menggunakan teknologi perubatan terkini selain memperkukuhkan lagi kedudukan HPUSM sebagai pusat rujukan utama bagi rawatan endovaskular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Rosnelifaizur Ramely
- Created on .
- Hits: 210