HPUSM LAKSANA PROSEDUR PMEG PERTAMA DI PANTAI TIMUR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mencatat satu lagi pencapaian penting dalam bidang intervensi endovaskular menerusi kejayaan melaksanakan prosedur kompleks ‘Physician Modified Endovascular Graft’ (PMEG) di Unit Advanced Minimally Invasive Endovascular and Neurointervention (AMIEN) pada 29 April lalu.

Prosedur ini merupakan yang pertama dilaksanakan di HPUSM dan Pantai Timur, melibatkan rawatan penyakit ‘Infrarenal Abdominal Aortic Aneurysm’ (AAA) bersama ‘Bilateral Common Iliac Artery Aneurysm’ dan ‘Right Internal Iliac Artery Aneurysm’.

Penyakit ini berlaku disebabkan pengembangan abnormal saluran darah utama aorta di bahagian abdomen serta saluran arteri ilia yang berlaku secara serentak dan berisiko tinggi untuk pecah serta boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat segera.

Prosedur PMEG ini menggunakan teknik hybrid di mana pakar vaskular surgeri melakukan pengubahsuaian secara manual pada graf endovaskular terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam saluran darah pesakit. Pakar perlu mencipta tingkap (fenestrasi) atau cabang tersuai yang baru pada graf di bawah keadaan steril.


Bagi kes kompleks ini, graf buatan kilang yang standard mungkin tidak sesuai dengan anatomi unik pesakit. Ini membolehkan doktor menyesuaikan graf tersebut secara khusus mengikut keperluan pesakit tanpa perlu menunggu graf buatan kilang yang ditempah khas dan mengambil masa agak lama.

Prosedur operasi ini diketuai oleh Pakar Vaskular Surgeri, Jabatan Surgeri Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Madya Dr. Rosnelifaizur Ramely, dengan bimbingan Pakar Vaskular Surgeri dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Ahmad Hafizi Hariz Ramli selain turut dibantu oleh pasukan Intervensi Radiologi dan pasukan Anestesiologi.

Kejayaan ini juga membuktikan kepakaran dan keupayaan HPUSM dalam mengendalikan kes-kes vaskular tahap tinggi menggunakan gabungan kepakaran skil pembedahan dan teknologi perubatan terkini.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Rosnelifaizur Ramely
- Created on .
- Hits: 201