HPUSM PELOPORI BENGKEL RFA BERPANDUKAN TEKNOLOGI ‘ICE 3D SOUNDSTAR’ PERTAMA DI PANTAI TIMUR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Jun 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan perubatan termaju apabila berjaya menganjurkan Bengkel ‘Radiofrequency Ablation’ (RFA) menggunakan teknologi ‘Intracardiac Echocardiography (ICE) 3D SOUNDSTAR’, yang pertama di Pantai Timur bagi rawatan pesakit yang mengalami masalah pada gangguan ritma jantung pada 8 Jun lalu.

Bengkel yang berlangsung di Makmal Kardiologi Invasif (ICL), HPUSM itu bertujuan memberi pendedahan komprehensif kepada pakar dan pegawai perubatan mengenai teknik navigasi serta visualisasi anatomi jantung secara masa nyata menggunakan ‘catheter ICE 3D SOUNDSTAR’ bagi meningkatkan ketepatan prosedur ablasi.
Selain itu, bengkel berkenaan turut memberi penekanan terhadap peningkatan kemahiran pengendalian kateter ICE serta integrasinya dengan sistem pemetaan jantung tiga dimensi (3D mapping system), di samping memperkukuh kefahaman mengenai aplikasi ICE dalam meningkatkan keselamatan pesakit, termasuk pengesanan awal komplikasi semasa prosedur dijalankan.

Prosedur klinikal bengkel ini telah dikendalikan oleh Pakar Kardiologi Klinikal dan Elektrofisiologi HPUSM, Dr. Mohd Khairi Othman dengan kerjasama Pakar Kardiologi dan Elektrofisiologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Saravanan Krishinan.
Bengkel ini mengetengahkan penggunaan teknologi ‘ICE 3D SOUNDSTAR’ keluaran Biosense Webster, iaitu teknologi terkini dalam bidang ‘cardiac electrophysiology’ yang menggabungkan imej ultrabunyi jantung dengan sistem pemetaan CARTO bagi menghasilkan visualisasi anatomi jantung secara tiga dimensi (3D) yang lebih terperinci dan tepat.

Teknologi ini amat membantu dalam pengurusan kes aritmia yang kompleks. Dalam salah satu kes yang dijalankan semasa bengkel tersebut, pesakit yang didiagnosis dengan ‘left posteroseptal papillary muscle premature ventricular contraction/ventricular tachycardia’ (PVC/VT) telah berjaya menjalani prosedur RFA dengan bantuan ICE, sekali gus membolehkan visualisasi masa nyata yang jelas serta mengurangkan pendedahan radiasi kepada pesakit dan petugas perubatan.
Secara keseluruhan, penggunaan teknologi ‘ICE 3D SOUNDSTAR’ bukan sahaja meningkatkan kecekapan perancangan dan pelaksanaan prosedur ablasi yang kompleks, malah membantu mengurangkan risiko komplikasi serta meningkatkan keberkesanan rawatan terhadap pesakit gangguan ritma jantung.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan USM dan HPUSM dalam memperkukuh latihan klinikal, memperkasa kepakaran elektrofisiologi jantung serta memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi selaras dengan peranan USM sebagai institusi pendidikan dan hospital universiti berteraskan kecemerlangan.
Sumber Laporan & Foto: Nurul Syahira Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 233