HPUSM PERKASA BUDAYA KERJA BERETIKA MELALUI SIRI KE-2 KEMPEN KELESTARIAN PROFESIONALISME
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Julai 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus mengorak langkah memperkukuh budaya kerja beretika dan profesional melalui penganjuran siri ke-2 Kempen Kelestarian Profesionalisme dan Etika Kerja yang kini memberi tumpuan khusus kepada tiga (3) unit perkhidmatan utama iaitu Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Klinik Pakar Perubatan (KPP) serta Unit Korporat dan Khidmat Pelanggan Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT).
Di bawah kepimpinan Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, kempen ini menampilkan tema 'Budi Bahaso Budaya Set Kito HPUSM', selari dengan aspirasi hospital untuk mewujudkan suasana kerja yang harmoni, berintegriti dan berorientasikan pelanggan.
Lima (5) nilai utama menjadi teras kepada kempen ini iaitu ketepatan, informatif, profesionalisme, responsif dan empati yang diyakini mampu memantapkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Antara pengisian dalam siri kali ini termasuk sesi perkongsian pengalaman berkaitan etika kerja, tip komunikasi berkesan serta perbincangan isu-isu semasa di tempat kerja yang boleh ditambah baik secara bersama.
Lebih membanggakan, siri 1 kempen ini yang telah dilaksanakan sebelum ini memberi impak positif apabila pihak hospital menerima maklum balas yang amat memberangsangkan daripada para pelanggan, khususnya dalam aspek layanan dan komunikasi.
HPUSM kini dalam perancangan untuk meluaskan pelaksanaan kempen ini ke seluruh jabatan dan unit dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menjadikan HPUSM sebagai pusat perubatan bertaraf antarabangsa yang menyanjung tinggi nilai murni, integriti dan budaya kerja cemerlang.
Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin /Foto Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 53