Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM PERKASA PENGETAHUAN RAWATAN KESUBURAN MELALUI PROGRAM ‘INFERTILITY MANAGEMENT FOR PRIMARY CARE PROVIDERS' 2026

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Julai 2026 – Bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai pengurusan rawatan kesuburan dalam kalangan pengamal perubatan serta masyarakat, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menganjurkan Program ‘Infertility Management for Primary Care Providers’ 2026 pada 23 Julai lalu.

Program anjuran Unit Pembangunan Korporat dan Kelestarian bersama Perkhidmatan Infertiliti HPUSM itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai pengurusan infertiliti serta perkembangan terkini rawatan kesuburan dalam kalangan pengamal perubatan dan masyarakat.

Program ini turut dihadiri oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dan Ketua Jabatan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HPUSM, Profesor Madya Dr. Mohd. Pazudin Ismail sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperluas akses kepada pendidikan dan perkhidmatan rawatan kesuburan yang berkualiti.

Antara pengisian program ini ialah siri ceramah ilmiah yang disampaikan oleh Pakar Perubatan Reproduktif, Profesor Madya Dr. Adibah Ibrahim, Pakar Perubatan, Dr. Ahmad Akram Omar dan Pegawai Perubatan, Dr. Siti Nur Fatihah Ab. Manaf, di samping perkongsian mengenai pengurusan infertiliti, perkembangan terkini dalam rawatan In Vitro Fertilization (IVF), serta teknik dan prosedur rawatan berdasarkan amalan klinikal semasa.

Selain itu, turut diadakan forum yang menghimpunkan pakar perubatan, Pegawai Sains (Embriologi) dan pesakit yang pernah menjalani rawatan kesuburan. Forum ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami proses rawatan daripada perspektif klinikal dan pengalaman pesakit, di samping menggalakkan perkongsian pandangan secara langsung.

Selain menambah ilmu dan kemahiran klinikal peserta, program ini turut menjadi platform mempererat jaringan profesional antara pakar dan pengamal perubatan dalam usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan rawatan kesuburan di negara ini.

Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal masalah infertiliti serta membantu pasangan mendapatkan rawatan yang bersesuaian pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan peluang untuk memperoleh zuriat.

Sumber Laporan & Foto: Raja Nurhairunnisa Raja Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 155