HPUSM PERKUKUH KOLABORASI PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN HOSPITAL BERTEKNOLOGI TINGGI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 April 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) hari ini mengadakan sesi perbincangan bersama ATAS International Sdn. Bhd., Winning Health Technology Group Co. Ltd. dari China, serta TH Properties Sdn. Bhd. bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pelaksanaan sistem pengurusan hospital.
Perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Blok Pentadbiran HPUSM ini merupakan kesinambungan kepada pertemuan terdahulu yang diadakan di Menara TH Selborn pada 8 April lalu menyentuh pelaksanaan sistem pengurusan hospital berteknologi tinggi dan lebih efisien di fasiliti kesihatan dalam negara.
Perbincangan ini dilihat sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi kesihatan tempatan dan syarikat teknologi kesihatan antarabangsa dalam usaha meningkatkan mutu pengurusan dan penyampaian perkhidmatan hospital.
Dalam sesi tersebut, Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani yang mengetuai perbincangan memberi fokus kepada strategi utama untuk memperluas kerjasama dalam bidang seperti ‘team-based care’, neurosains, perkhidmatan kecemasan dan intervensi klinikal.
Antara perkara yang turut dibincangkan termasuk pembentukan pasukan kolaboratif antara kedua-dua pihak bagi memastikan penyelarasan mantap dalam pelaksanaan inisiatif bersama. HPUSM turut berkongsi kepakaran dalam bidang khusus seperti program ‘Healing Little Hearts’ serta inisiatif pemulihan menggunakan teknologi robotik.
Sesi perbincangan ini juga merangkumi pembentangan statistik berkaitan jaringan hospital serta penawaran penyelesaian teknologi kesihatan berskala besar oleh pihak Winning Health Technology.
Selesai sesi perbincangan, delegasi dibawa melawat persekitaran HPUSM bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai kemudahan, perkhidmatan serta teknologi terkini yang diguna pakai di HPUSM.
Antara lokasi yang dilawati termasuk Jabatan Kecemasan, Jabatan Farmasi, serta Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP).
Hadir sama dalam sesi perbincangan dan lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Timbalan Pengarah (Digital), Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 87