HPUSM SANTUNI PESAKIT, SAMPAI MAKLUMAT BERKAITAN DEKLARASI BANDAR PERUBATAN PINTAR AL-MUHAMMADI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Mei 2026 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai komitmen berterusan dalam menyantuni pesakit di kawasan Klinik Pakar HPUSM (Zon 16), dengan pengagihan 300 bungkusan roti, air mineral serta minuman teh panas kepada pelanggan yang mendapatkan rawatan di HPUSM.


Program berkenaan yang mengangkat tema ‘Bersama Kita Prihatin, Bersama Kita Membantu’ itu menggambarkan semangat kebersamaan dalam memperkasa kesejahteraan sosial masyarakat setempat.


Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani turut meluangkan masa menyampaikan taklimat berkaitan Deklarasi Bandar Perubatan Pintar Al-Muhammadi Kubang Kerian.


Deklarasi tersebut merupakan petisyen sokongan awam bagi merealisasikan hasrat menjadikan Bandar Baru Kubang Kerian sebagai Bandar Perubatan Pintar Al-Muhammadi atau 'Al-Muhammadi Smart Medical City' yang memerlukan maklum balas awam sebagai tanda sokongan terhadap keperluan pembangunan ini.

Inisiatif itu bukan sekadar penjenamaan kawasan, malah melibatkan pelan pembangunan menyeluruh yang merangkumi infrastruktur kesihatan moden, transformasi digital perkhidmatan kesihatan serta pembangunan persekitaran komuniti yang lebih lestari dan mesra rakyat.

Antara cadangan utama yang diketengahkan ialah projek pembangunan Infrastruktur Kesihatan Tercanggih dan Transformasi Digital Perkhidmatan Kesihatan di HPUSM bagi meningkatkan sistem rawatan, pendidikan dan penyelidikan perubatan di Pantai Timur.

Selain itu, pembinaan Jejantas MADANI yang menghubungkan HPUSM dengan kompleks pasar raya Econsave turut dicadangkan bagi memudahkan pergerakan warga universiti, pesakit, pelajar serta orang awam sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan aksesibiliti.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto:Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 406