HPUSM SERTAI BENGKEL TINGKATKAN KEMAHIRAN ADUAN PELANGGAN AGENSI DI BAWAH KPT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 April 2025 - Unit Komunikasi Korporat (UKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Bengkel Kajian Kes Pengurusan Aduan Awam dan Perhubungan Pelanggan KPT Tahun 2025 selama tiga (3) hari bermula 25 April dan berakhir semalam di Hotel Langkasuka, Pekan Kuah, Langkawi.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran Pegawai Penyelaras Aduan (PPA) dalam menguruskan pelanggan di jabatan, agensi, Universiti Awam dan Hospital Pengajar Universiti masing-masing serta menawarkan perkhidmatan secara berkesan yang dapat memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan.
Bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator Ketua Penolong Pengarah Unit Aduan 4, Bahagian Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Kumaran Nadaraja dan pasukan turut bertujuan meningkatkan kemahiran para peserta menguruskan aduan pelanggan di jabatan masing-masing.
Selain itu, bengkel ini juga menjadi platform pertemuan, perbincangan serta rangkaian perkongsian dalam kalangan pasukan pengurusan aduan jabatan dan agensi di bawah KPT sebagai usaha memastikan pengurusan aduan pelanggan yang standard dan berkesan disemua jabatan dan agensi yang terlibat.
Antara pengisian bengkel ini ialah sesi ‘hands-on’ untuk meningkatkan kemahiran pengurus aduan mengendalikan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA). Seramai 68 peserta dari pelbagai jabatan, agensi, Universiti Awam dan Hospital Pengajar Universiti termasuk Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terlibat dalam bengkel ini.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi /Foto: Ihsan Unit Media KPT
- Created on .
- Hits: 4