HPUSM SERTAI PROGRAM ‘KELANTAN DAY DI JAKARTA’ PROMOSI PELANCONGAN KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Mei 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) berbesar hati diberi peluang menyertai program ‘Kelantan Day di Jakarta’ pada 12 hingga 15 Mei lalu sebagai inisiatif mempromosikan potensi pelancongan negeri Kelantan di peringkat antarabangsa.

Program anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan itu memberi ruang dan peluang kepada wakil HPUSM untuk memperkenalkan agenda Pelancongan Kesihatan (Health Tourism) di negeri Kelantan melalui perkhidmatan dan kepakaran yang ditawarkan oleh Perkhidmatan Eksekutif USAINS dan HPUSM.
Pelancongan kesihatan merujuk kepada aktiviti di mana individu melakukan perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan atau rawatan perubatan, sama ada kerana kos yang lebih berpatutan, rawatan khusus yang tidak ditawarkan di negara asal, mahupun peluang untuk menggabungkan rawatan dengan aktiviti pelancongan.

Dalam konteks HPUSM, pelancongan kesihatan dilihat sebagai satu bidang berimpak tinggi yang mampu menarik pesakit antarabangsa untuk mendapatkan rawatan khusus daripada hospital yang mempunyai kelebihan dalam kepakaran, penyelidikan serta teknologi kesihatan terkini.
Seiring perkembangan tersebut, HPUSM turut menjangkakan peningkatan kehadiran pesakit dari Indonesia susulan pelancaran penerbangan terus dari Kota Bharu ke Jakarta oleh AirAsia yang dijadualkan bermula 16 Jun ini.

Sumber Laporan & Foto: Ida Haryati Ibrahim Bey
- Created on .
- Hits: 318