HPUSM TERIMA LAWATAN PENANDA ARAS HOSPITAL AL-SULTAN ABDULLAH UiTM PUNCAK ALAM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Januari 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menerima lawatan penanda aras daripada Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam bagi mengenal pasti amalan terbaik dalam pengurusan operasi hospital pada 25 Januari lalu.

Delegasi Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam yang diketuai Timbalan Pengarah Profesional dan Operasi, Dato’ Khalid Ibrahim bersama Timbalan Pengarah (Kewangan), Mazuina Samsuri itu disambut oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.

Lawatan ini antara lain bertujuan memberi pendedahan mengenai pelaksanaan dan pengurusan ‘Medical Implant and Devices Unit’ (MIDU) yang dijalankan di HPUSM meliputi aspek operasi, sumber manusia dan prosedur kerja sebagai panduan ke arah penambahbaikan sistem perkhidmatan.
Selain itu, delegasi turut diberi pendedahan berkait pelaksanaan program Hospital Mesra Ibadah dan Patuh Syariah yang dilaksanakan di HPUSM sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

HPUSM juga telah berkongsi maklumat serta pengalaman melibatkan beberapa perkhidmatan utama termasuk Unit Pembangunan Korporat, Jabatan Bendahari, Jabatan Keselamatan dan Pusat Islam.

Turut menyantuni delegasi lawatan ini ialah Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail; Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Bendahari HPUSM, Zamasari @ Zamahshari Abd. Ghani serta pegawai-pegawai daripada Unit Kerja Sosial Perubatan, Jabatan Keselamatan dan Pusat Islam Kampus Kesihatan USM.Sumber
Laporan: Raja Nurhairunnisa Raja Abdullah/ Foto: Muhamad Hariz Yahya
- Created on .
- Hits: 300