HPUSM TERIMA SUMBANGAN RM50,000 DARIPADA L'OCCITANE MALAYSIA UNTUK INTERVENSI PENGLIHATAN KANAK-KANAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Julai 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada L’Occitane Malaysia bagi menyokong pelaksanaan ‘School Children Refractive Error Intervention Programme’, sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pengesanan awal dan intervensi masalah penglihatan dalam kalangan murid sekolah rendah di Kelantan.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail mewakili Pengarah HPUSM di Setia City Mall, Shah Alam bersempena Program Larian Amal ‘Race for Vision’ pada 5 Julai lalu.
Larian amal itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat, L’Occitane Malaysia dalam usaha menyokong penjagaan kesihatan mata, khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Penglibatan HPUSM dalam program ini mencerminkan kepercayaan serta komitmen bersama antara institusi kesihatan akademik dan sektor korporat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Melalui dana yang disumbangkan, ‘School Children Refractive Error Intervention Programme’ akan dilaksanakan selama setahun bermula Julai 2026 hingga Jun 2027 melibatkan sekolah-sekolah rendah di seluruh Kelantan.
Program tersebut akan dimulakan dengan proses saringan awal oleh guru-guru kelas yang telah diberikan latihan bagi mengenal pasti murid yang berkemungkinan mengalami masalah penglihatan. Murid yang dikenal pasti kemudiannya akan menjalani pemeriksaan lanjut oleh pasukan doktor mata HPUSM mengikut jajahan masing-masing. Bagi murid yang didapati mengalami masalah penglihatan yang lebih serius, mereka akan dirujuk ke HPUSM untuk menerima rawatan lanjut di bawah perkhidmatan subkepakaran Oftalmologi Pediatrik.
Selain itu, murid daripada keluarga kategori B40 yang disahkan mengalami masalah rabun akan menerima cermin mata secara percuma hasil sumbangan L’Occitane Malaysia, di samping dipantau secara berkala bagi memastikan keberkesanan rawatan dan perkembangan penglihatan mereka.

Sejak tahun 2022, HPUSM melalui Program KRIS (KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera) yang kini dikenali sebagai Program KPT Prihatin MADANI terus komited melaksanakan program intervensi awal bagi menangani masalah penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Usaha tersebut turut dipertingkatkan melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh Kelantan, Persatuan Optometris Kelantan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dalam memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada pemeriksaan dan rawatan kesihatan mata yang berkualiti.
Inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan penglihatan kanak-kanak, sekali gus menyokong pencapaian akademik serta kualiti hidup mereka pada masa hadapan.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Dr. Shatriah Ismail
- Created on .
- Hits: 147