Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM TINGKAT KEFAHAMAN PENGURUSAN JENAZAH DALAM KALANGAN PETUGAS KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mei 2026 - Unit Klinikal Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kerjasama Pusat Islam Kampus Kesihatan USM telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Pekerja Kesihatan bertemakan ‘Sentuhan Akhir Penuh Hikmah’ pada 6 Mei lalu.

WhatsApp Image 2026 05 10 at 10.53.16 AM

Kursus yang berlangsung di Bilik Seminar Blok Pentadbiran HPUSM bagi sesi ceramah dan sesi praktikal di Masjid Kampus Kesihatan USM ini diadakan bertujuan memantapkan ilmu fardu kifayah serta nilai ihsan dalam kalangan kakitangan hospital selain menyebarkan maklumat berkenaan peraturan terkini aspek mengendalikan jenazah terutamanya melibatkan pesakit di fasiliti kesihatan.

WhatsApp Image 2026 05 10 at 10.53.16 AM 1

Kursus yang disertai kira-kira 52 peserta ini mendapat bimbingan penceramah dan fasilitator terlatih termasuk dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melibatkan konsep asas pengurusan jenazah dalam Islam serta prosedur pengendalian jenazah yang diamalkan secara khusus di HPUSM bagi memberi gambaran jelas mengenai aliran kerja profesional di fasiliti kesihatan ini.

WhatsApp Image 2026 05 10 at 10.53.16 AM 2

Para peserta juga berpeluang terlibat secara aktif dalam sesi praktikal yang merangkumi kaedah sebenar menghadapi detik akhir kehidupan hingga proses memandikan, mengkafankan serta sembahyang jenazah dengan penuh adab dan ketelitian. Elemen keselamatan menjadi antara penekanan utama, di mana peserta diajar untuk mengaplikasikan langkah keselamatan yang ketat semasa mengendalikan jenazah bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan atau kemalangan yang tidak diingini berlaku.

WhatsApp Image 2026 05 10 at 10.53.16 AM 4

Melalui gabungan latihan teori dan amali yang sistematik ini, tahap keyakinan para peserta berjaya ditingkatkan agar mereka lebih bersedia dan tenang apabila berhadapan situasi kematian yang sebenar dalam kalangan pesakit, ahli keluarga mahupun masyarakat luar. Peserta yang dibahagikan kepada kumpulan kecil diajar teknik balutan kafan yang kemas dan tatacara memandikan jenazah yang efisien termasuk adab menjaga aurat jenazah mengikut syariat yang ditetapkan.

WhatsApp Image 2026 05 10 at 10.53.16 AM 5

Kursus ini bukan saja sekadar sesi perkongsian ilmu, malah menjadi platform muhasabah diri tentang erti kematian bagi para peserta yang menghadirinya. Semoga kemahiran yang diperoleh dapat dipraktikkan demi menyempurnakan tuntutan agama dengan penuh hikmah dan kemuliaan.

WhatsApp Image 2026 05 10 at 10.53.16 AM 3

Turut hadir dalam kursus ini ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Timbalan Pengarah, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abd Sattar@Ismail dan Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan, Unit Klinikal HPUSM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd.

Sumber Laporan & Foto: Urus Setia Kursus Pengurusan Jenazah HPUSM 2026

  • Created on .
  • Hits: 273