Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM TINGKAT KESEDARAN MASYARAKAT MENERUSI PENDIDIKAN DAN SARINGAN AWAL KANSER

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 September 2026 – Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan, saringan dan pengesanan awal kanser, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerusi Jabatan Patologi melaksanakan Program KPT Prihatin MADANI: Pengesanan Awal dan Pendidikan Pencegahan Kanser Utama Dalam Kalangan Dewasa Fasa 1, pada 19 September lalu.

Program yang berlangsung di Masjid Bustanul Maarif, Bechah Resak, Chabang 4, Tumpat itu merupakan inisiatif libatsama universiti dan komuniti dengan kerjasama Hospital Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Unit Reproduktif Kelantan (ReHAK), Unit Perubatan Pemulihan HPUSM serta Klinik Primer Cherang Tumpat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria yang menekankan kepentingan pengesanan awal dalam pengurusan kanser serta peranan kerjasama antara organisasi dan komuniti dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Program yang mendapat sokongan Jawatankuasa Masjid Bustanul Maarif itu turut dilaksanakan serentak dengan Karnival Masjid, sekali gus membuka ruang interaksi yang lebih luas bersama komuniti setempat.

Antara pengisian yang disediakan ialah ceramah pendidikan kesihatan, saringan ‘Pap Smear’, konsultasi pemakanan dan gaya hidup sihat serta pameran spesimen kanser. Pendekatan secara bersemuka ini turut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penerangan berkaitan kepentingan saringan, pencegahan kanser serta membetulkan salah faham mengenai penyakit dan pantang larang berkaitan kanser.

Program ini akan diteruskan melalui Fasa 2 pada 6 Oktober nanti di Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) dengan memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan lanjutan serta tindakan susulan berkaitan saringan.

Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Anani Aila Mat Zin

  • Created on .
  • Hits: 208