HPUSM TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN MENERUSI AUDIT PEMANTAUAN MS ISO 9001:2015 DAN MS 1900:2014
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Februari 2026 - Audit Pemantauan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah MS 1900:2014 telah berlangsung selama dua (2) hari di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) pada 3 dan 4 Februari lalu.Skop pengauditan MS ISO 9001:2015 merangkumi perkhidmatan kesihatan bagi pesakit luar, pesakit dalam, kecemasan, perkhidmatan farmasi, sokongan klinikal, bukan klinikal serta pemprosesan tisu.

Bagi pematuhan kepada MS 1900:2014 pula, skop pengauditan merangkumi lima (5) komponen Titik Kawalan Kritikal Syariah iaitu aurat, mahram, halal dan haram, ibadah serta muamalat yang berfungsi sebagai mekanisme kawalan bagi memastikan pematuhan syariah di HPUSM.Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) merupakan rakan strategik HPUSM yang berperanan sebagai pihak ketiga dalam memperakukan tindakan penambahbaikan berterusan terhadap sistem pengurusan kualiti yang telah dilakukan oleh HPUSM.

Selain itu, audit pemantauan ini merupakan proses penting bagi HPUSM kerana ia membantu menilai prestasi sedia ada serta menentukan tahap keberkesanan dalam menyediakan perkhidmatan kepada pesakit.

Sepanjang tempoh pengauditan, pihak SIRIM telah mengeluarkan empat (4) ketidakakuran serta sebelas peluang penambahbaikan bagi MS ISO 9001:2015, manakala dua (2) peluang penambahbaikan bagi MS 1900:2014.

Pengurusan HPUSM menerima baik segala teguran yang dikemukakan dan akan terus komited untuk melaksanakan penambahbaikan dalam kualiti pengurusan hospital termasuk pengurusan klinikal serta perkhidmatan sokongan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit.

Turut hadir semasa majlis pembukaan audit ialah Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria mewakili Pengarah HPUSM; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Timbalan Pengarah (Digital) HPUSM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar.
Sumber Laporan & Foto: Wahida Amalin Zaihan
- Created on .
- Hits: 137