HUBUNGAN ERAT MPP DAN PENGURUSAN TUNJANG KEMASLAHATAN MAHASISWA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Disember 2024 - "Pemimpin mahasiswa perlu menjadi mata dan telinga serta sentiasa peka dengan sebarang perkembangan dan sensitiviti siswa-siswi bagi membantu pengurusan memastikan kemaslahatan siswa-siswi kekal terpelihara", demikian rangkuman amanat Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kampus Kesihatan USM, kelmarin.
Pertemuan tersebut merupakan inisiatif untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin pelajar dan pengurusan kampus dengan matlamat menggembleng usaha bersama demi manfaat seluruh warga kampus, khususnya golongan mahasiswa.
Yang DiPertua MPP Kampus Kesihatan, Muhammad Hanif Ariff serta barisan MPP yang baharu sahaja dilantik bagi penggal 2024/2025 turut membentangkan perancangan mereka termasuk cadangan aktiviti serta keperluan bagi kebajikan siswa-siswi untuk perhatian serta sokongan daripada pihak pengurusan.
Mengakhiri pertemuan, Shaiful Bahari sempat menyampaikan doa dan harapan agar pimpinan MPP baharu ini terus komited, cakna dan dipermudahkan dalam mengurus serta memperjuangkan isu-isu berkaitan mahasiswa.
Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembanguan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria; Pengurus Operasi, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) Kampus Kesihatan, Amyrulhan Azhari dan Ketua Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling, Kerjaya dan Alumni BHEPA, Mohd Norzulhairie Othman.
Teks: Amyrulhan Azhari/ Foto: Muhammad Hanif Ariff
- Created on .
- Hits: 140