Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

i-CSC USM PERKASA KOMUNITI KELANTAN DENGAN KEMAHIRAN MENYELAMATKAN NYAWA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2026 – Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (i-CSC), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) menerajui pelaksanaan FIMA International Lifesavers Day 2026 di Kelantan menerusi kerjasama bersama Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu pada 26 September lalu.

Program ini melibatkan 100 orang komuniti setempat dan ahli kariah masjid dengan pengisian utama latihan ‘Basic Life Support’ (BLS), termasuk teknik ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) bagi dewasa dan bayi, bantuan kepada mangsa tercekik serta penggunaan ‘Automated External Defibrillator’ (AED).

Selain latihan BLS, peserta turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan pergigian sebagai sebahagian daripada usaha memperluas manfaat program kepada komuniti.

FIMA Lifesavers merupakan inisiatif antarabangsa yang diperkenalkan oleh Federation of Islamic Medical Associations (FIMA) pada tahun 2014 bagi memperkasa orang awam dengan kemahiran asas bantuan kecemasan, khususnya dalam menangani kes kegagalan jantung di luar hospital (out-of-hospital cardiac arrest).

Penyertaan i-CSC dan Hospital Pakar USM (HPUSM) dalam program berkenaan mencerminkan komitmen USM dalam memperluaskan kepakaran universiti kepada masyarakat, di samping membentuk komuniti yang lebih berpengetahuan dan bersedia memberikan tindakan awal ketika berdepan situasi kecemasan.

Pada tahun ini, program FIMA International Lifesavers Day melibatkan sembilan (9) lokasi di seluruh Malaysia, dengan penglibatan pelbagai institusi termasuk USM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Slim River, Hospital Pakar Al-Islam dan Klinik As-Salam.

Bagi negeri Kelantan, program ini diwakili oleh Kampus Kesihatan USM melalui i-CSC yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Nani Draman bersama 13 orang ‘Team Basic Life Support’ dan 30 orang staf HPUSM.

Sumber Laporan & Foto: Mohd Firdaus Abd Ghani

  • Created on .
  • Hits: 91