Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

InCoB/ISCB-APAC 2026 HIMPUN PAKAR BIOINFORMATIK DAN AI ANTARABANGSA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2026 –Persidangan Bioinformatik Antarabangsa atau ‘25th International Conference on Bioinformatics and 1st International Society for Computational Biology – Asia Pacific Conference’ (InCoB/ISCB-APAC 2026) yang bertemakan ‘Where Bioinformatics Meets AI – Unlocking the Next Era of Discovery’ menghimpunkan penyelidik, saintis, akademia dan pengamal industri dari pelbagai negara bagi berkongsi perkembangan terkini dalam bidang bioinformatik, sains data dan kecerdasan buatan (AI).

Persidangan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universiti Malaya, Asia Pacific Bioinformatics Network (APBioNET), ‘International Society for Computational Biology’ dan ‘Computational Biology and Bioinformatics Network’ (COMBIONE) itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab.

Persidangan yang berlangsung pada 14 hingga 17 September lalu di Pulau Pinang ini memberi ruang kepada peserta membincangkan pelbagai perkembangan dan inovasi dalam integrasi AI dengan bioinformatik, termasuk analisis data genomik, pemodelan struktur protein dan aplikasi sains data biologi dalam bidang perubatan jitu.

Persidangan ini turut menjadi platform pembangunan kapasiti menerusi bengkel, ‘hackathon’ dan sesi poster, di samping membuka ruang kepada penyelidik dan profesional untuk memperluas jaringan kerjasama di peringkat Asia Pasifik dan antarabangsa.

Penganjuran InCoB/ISCB-APAC 2026 mencerminkan komitmen USM dalam memperluas jaringan penyelidikan serta menyokong perkembangan bidang bioinformatik dan AI bagi mendepani keperluan sains dan teknologi masa hadapan.

Sumber Laporan dan Foto: Dr. Nik Yusnoraini Yusof

  • Created on .
  • Hits: 94