Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

INISIATIF CERAMAH INFAQ PERKUKUH DANA TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Januari 2026 – Sebagai usaha menambah dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Unit Kerja Sosial Perubatan dengan kerjasama Pusat Islam Kampus Kesihatan USM telah menganjurkan Ceramah Meraih Rahmat-Nya Melalui Infaq Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM 2026 pada 22 Januari lalu.

Ceramah yang disampaikan oleh Penyelia Pondok Sungai Durian, Kuala Krai,Dato’ Dr. Abdul Basit Abdul Rahman ini dianjurkan khusus untuk membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan atau berada dalam kesempitan kewangan semasa mendapatkan rawatan di HPUSM selain memberi peluang kepada semua pihak untuk bersama-sama menyumbang kepada tabung kebajikan ini.

 

Hasil sumbangan ini akan membuka peluang kepada golongan miskin dan daif untuk menjalani rawatan dengan lebih sempurna, setara dengan pesakit lain yang berkemampuan dan secara tidak langsung memberi motivasi serta harapan kepada mereka agar tidak berasa tersisih atau terpinggir dalam mendapatkan rawatan.

Ceramah seperti ini juga amat signifikan kerana ia bukan sahaja memberi pengisian rohani, malah mengingatkan kita tentang tanggungjawab sosial sebagai individu dalam sesebuah komuniti.

Amalan infaq merupakan antara jalan yang dianjurkan oleh Islam untuk menyuburkan sifat empati, keikhlasan dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan, terutamanya golongan yang sedang diuji dengan kesakitan dan kesempitan hidup.

Sumber Laporan & Foto: Mohamad Zakwan Seman

  • Created on .
  • Hits: 191