INISIATIF DIGITAL : MUZIUM ANATOMI DAN JABATAN OFTALMOLOGI UNGGULI PERTANDINGAN LAMAN WEB
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Julai 2025 – Pertandingan Laman Web Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan bagi tahun 2025 melabuhkan tirainya dengan pengumuman pemenang bagi dua (2) kategori utama iaitu ‘website’ dan ‘webpage’.
Pertandingan ini dianjurkan bagi menggalakkan persaingan sihat antara pusat tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan dalam memperkasakan pengurusan laman digital masing-masing.
Ia juga bertujuan memastikan maklumat yang disampaikan dalam talian sentiasa berinformasi, interaktif serta dikemas kini secara konsisten.
Bagi kategori ‘website’, Muzium Anatomi mengungguli pertandingan di tempat pertama diikuti oleh Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) di tempat kedua dan Jabatan Radiologi di tempat ketiga. Sementara itu, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual meraih tempat pertama bagi kategori ‘webpage’, manakala Unit Sains Rekonstruktif dan Pusat Genom Manusia (HGC) masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Pertandingan ini telah berlangsung selama tiga (3) bulan bermula pada 15 Mac hingga 15 Jun lalu, manakala sesi penjurian telah diadakan dari 16 hingga 30 Jun 2025.
Penilaian dibuat melalui capaian laman sesawang menggunakan pelayar Internet Explorer 11.0, Chrome 8.0 ke atas dan Mozilla Firefox 9.0 ke atas.
Pemenang bagi kategori ‘website’ menerima piala pusingan, wang tunai RM1,500 dan sijil penghargaan serta penyertaan, manakala pemenang kategori ‘webpage’ menerima wang tunai RM700 beserta sijil.
Pertandingan ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Pertandingan Laman Web USM Kampus Kesihatan yang diterajui oleh Pengarah Kampus, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang, hari ini.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas komitmen tinggi dalam membina laman web berkualiti serta mesra pengguna.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 135